Usaha berterusan perluas liputan selular dan jalur lebar

0

KOTA KINABALU: Usaha untuk meluaskan liputan selular dan jalur lebar dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan harus diteruskan.

Ini kerana perkhidmatan telekomunikasi menjadi satu utiliti asas dan ia juga membolehkan negeri ini maju ke hadapan selari dengan pembangunan negara.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, pada penghujung 2013, Sabah mencatatkan pencapaian liputan selular dan jalur lebar masing-masing 88 dan 54.4 peratus.

“Bagi kemudahan kepada rakyat, kerajaan turut menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus penggunaan perkhidmatan dalam talian,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-14, di sini kelmarin.

Selain itu jelasnya, kerajaan menyedari perubahan generasi masa kini lebih tertumpu kepada teknologi maklumat apabila menjadikan laman sosial Twitter dan Facebook untuk berkomunikasi.

Beliau berkata, golongan belia masa kini mempunyai naluri mencuba sesuatu perkara yang baru. Justeru, apa juga program yang dirancang untuk pembangunan belia harus mengambil kira perubahan minda belia.

“Sebagai Generasi Y (Gen-Y), kerajaan akan memberikan fokus kepada program-program dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan relevan kepada golongan belia dalam mentransformasikan pembangunan mereka.

“Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Sehubungan itu, kerajaan amat menghargai peranan golongan Gen-Y yang akan menerajui pembangunan negara pada masa hadapan,” jelasnya.

Selain itu Juhar berkata, sasaran kedatangan pelancong seramai 3.5 juta ke Sabah sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dijangka mampu menjana hasil sebanyak RM6.635 bilion.

Pihaknya percaya dengan pencapaian itu, ia akan menambahkan lagi keyakinan para pengusaha syarikat penerbangan untuk meningkatkan akses perkhidmatan rangkaian udara ke negeri Sabah.

“Setakat bulan Januari tahun ini, Sabah mencatatkan seramai 289,353 jumlah pelancong yang menunjukkan peningkatan sebanyak 23.1 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

“Ketibaan pelancong domestik menunjukkan peningkatan sebanyak 25.2 peratus dengan jumlah pelancong seramai 181,424 orang, manakala ketibaan pelancong antarabangsa menunjukkan peningkatan sebanyak 19.7 peratus melibatkan seramai 107,929 pelawat,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini juga kerajaan negeri giat meneruskan usaha untuk meningkatkan keluasan kawasan Hutan Simpan Kelas I (Hutan Perlindungan) kepada 1 juta hektar.

Menurutnya, kerajaan negeri berusaha untuk mengenal pasti beberapa kawasan tertentu untuk diwartakan atau dikelaskan semula menjadi Hutan Simpan Kelas I (Hutan Perlindungan).

“Keutamaan turut diberikan kepada ekosistem hutan yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi untuk dipelihara mengikut kehendak representasi selaras dengan ‘Convention on Biological Biodiversity’ (CBD),” katanya.