Dua wakil DCA akan ke Perth sertai operasi JACC, kata Hishammuddin

0

TINJAUAN: Hishammuddin (tengah) melihat bagasi-bagasi yang disusun dalam operasi ‘Operational Readiness and Airport Transfer’ (ORAD) ketika lawatan kerja ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) yang dijangka akan mula beroperasi secara rasmi pada awal Mei nanti di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Dua wakil Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), selaku agensi mengawal selia industri penerbangan negara, akan menyertai operasi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth, Australia dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain itu pengerusi atau wakil tiga jawatankuasa khas peringkat kementerian juga akan ke Perth dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang persediaan yang perlu dilakukan pihak Malaysia dalam operasi pencarian kotak hitam MH370 dan selepas penemuannya.

“Dua wakil daripada DCA telahpun saya minta diserapkan dalam JACC…saya juga memberitahu (Ketua Penyelaras JACC, Marsyal Udara (B)) Angus Houston semalam bahawa kemungkinan besar dalam masa terdekat ini sama ada pengerusi jawatankuasa ini atau wakil mereka akan ke Perth untuk berbincang dengan pihak JACC untuk melihat apa lagi yang perlu kita buat,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah, Klia2, di sini semalam.

Katanya operasi mencari yang diketuai Australia itu kini sedaya upaya berusaha untuk menjejak kotak hitam pesawat MH370 yang diharapkan dapat membantu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat itu.

Baru-baru ini, untuk memperkemas dan memantapkan operasi mencari MH370 yang sedang dijalankan, kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.

Jawatankuasa Waris Penumpang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Jawatankuasa Pergerakan Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia begitu terbuka dan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kehilangan pesawat MH370  yang kini dilabelkan sebagai misteri dalam sejarah penerbangan dunia.

JACC sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia itu memasuki hari ke-36 semalam. — Bernama