Hulu Tau terus menanti sinar

0

PERLU DITERANGI: Rumah Jan Jelian, salah sebuah rumah panjang di Hulu Tau, Anap yang amat memerlukan bekalan elektrik.

Penduduk rayu bekalan elektrik 24 jam, gesa projek hidro mini dilaksanakan segera

TATAU: Penduduk rumah panjang di kawasan Hulu Tau, Anap di sini terus men­dambakan bekalan elektrik 24 jam.

Tuai Rumah Jan Jelian berkata, mereka menanggung beban tinggi apabila terpaksa membeli minyak diesel bagi kegunaan jana kuasa untuk mendapatkan bekalan ele­ktrik.

“Masalah utama kami di sini ialah ketiadaan bekalan elektrik namun bernasib baik kerana mempunyai enjin jana kuasa. Bagaimanapun, ia hanya beroperasi pada waktu malam sahaja kerana mahu menjimatkan kos diesel.

“Kalau dipasang sepanjang hari dalam tempoh 24 jam di­tambah dengan 30 hari, sudah pasti kosnya tinggi.

“Walaupun hanya dihidup­kan atau dipasang pada se­belah malam sahaja, kami berasa amat terbeban kerana harga bahan api meningkat lebih-lebih lagi kawasan kami jauh di pedalaman,” katanya ditemui semalam.

Jan berkata, penduduk yang mempunyai jana kuasa rata-rata membelanjakan tidak kurang RM300 sebulan untuk kos membeli minyak diesel.

“Sudahlah kawasan kami jauh di pedalaman, kos bahan api turut meningkat dis­ebabkan kos pengangkutan­nya. Segelen minyak diesel dijual RM10 dan itu tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

“Malah, ada di antara kami membeli satu tong dram besar baharulah mencukupi untuk kegunaan selama sebulan.

“Kos tong besar ini mencec­ah RM300 hingga RM400. Kalau penduduk tiada pen­dapatan tetap mana hendak mencari duit sebanyak itu?” jelasnya.

Sehubungan itu, Jan mem­beritahu pihak berkenaan memperkenal projek hidro mini sebagai langkah mem­bekalkan elektrik kepada penduduk pada tahun 2010.

Katanya, rancangan projek itu sudah dipersetujui dan ka­wasannya telah pun disurvei, namun penduduk masih ter­nanti-nanti pelaksanaannya.

“Lokasi projek hidro mini kami terletak di Wong Sepa­rai di Nanga Tau. Projek itu memberi manfaat kepada sembilan buah rumah panjang di kawasan Hulu Tau.

“Dianggarkan lebih 200 penduduk akan mendapat manfaat projek itu nanti. Na­mun sehingga kini, empat ta­hun berlalu, projek itu masih belum menampakkan tanda-tanda akan dilaksanakan.

“Justeru, kami meminta pihak berkenaan agar mem­percepatkan pembinaan projek hidro mini di kawasan kami.

“Makin lama menunggu, makin terasa beban kami menanggung kos bahan api. Jika projek itu dilaksanakan, beban kami akan lebih rin­gan kerana tidak menggu­nakan jana kuasa. Kami boleh menikmati bekalan elektrik dengan mudah dan percuma,” katanya.

Seorang penduduk, Kam Balang yang sependapat den­gan Jan berharap kerajaan mempercepatkan usaha me­nangani masalah penduduk di kawasan itu.

Katanya, apa yang penting ialah pelaksanaan bekalan elektrik iaitu projek hidro mini yang sudah dipersetujui dan dijanjikan oleh pihak berkenaan.

“Empat tahun sudah ber­lalu, namun kami masih mengharapkan sinar cahaya projek tersebut. Masa se­makin berlalu turut memberi beban kepada kami menang­gung kos bahan api.

“Bukan itu sahaja, tambang ulang-alik dari sini ke pekan Tatau ialah RM60 seorang dengan menggunakan kereta sewa jenis pacuan empat roda. Melalui jalan lori balak turut membahayakan keselamatan kami, lebih-lebih lagi ketika hujan.

“Kami bersyukur dengan adanya jalan balak ini yang te­lah memudahkan pergerakan kami. Tetapi, kehidupan kami di sini berhadapan dengan kos tinggi.

“Ini termasuk minyak diesel untuk jana kuasa, tambang untuk ke pekan, barang-barang yang dijual, masalah telekomunikasi yang kurang memuaskan dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya, salah satu masalah kami dapat diselesaikan iaitu bekalan ele­ktrik. Tanpa bekalan elektrik sukar bagi kami meneruskan kehidupan.

“Semuanya memerlukan kuasa elektrik berbanding ma­salah lain yang boleh dielak atau ditangguhkan dahulu sekiranya tidak perlu,” jelasnya.

Biarpun demikian, Jan dan Kam masing-masing mela­hirkan rasa syukur terhadap kehidupan mereka di Hulu Tau yang banyak berubah berbanding dahulu hasil bantuan kerajaan meskipun kawasan mereka jauh di pedalaman.

“Walaupun banyak pe­rubahan tetapi kami amat memerlukan bekalan ele­ktrik. Bekalan air dan jalan raya sudah ada tetapi kami memerlukan elektrik kerana sudah tidak tahan lagi den­gan beban menanggung kos minyak diesel untuk jana kuasa kami.

“Kami di sini masih me­nanti sinar daripada pihak berkenaan dan kerajaan untuk menerangi kawasan Hulu Tau bagi keselesaan kami dan anak cucu mengharapkan pemban­gunan berterusan kerajaan,” katanya.