Kerajaan Terengganu peruntuk RM20 juta untuk ibu tunggal

0

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melalui  Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) memperuntukkan RM20 juta tahun ini bagi memastikan semua aktiviti ibu tunggal di negeri ini berjalan dengan lancar.

Pengarah YPK negeri, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata peruntukan itu antaranya bagi mewujudkan insentif perkahwinan ibu tunggal dan bapa tunggal, pinjaman modal perniagaan dan insurans bagi ibu tunggal.

“Kerajaan negeri amat peka dan prihatin terhadap ibu tunggal di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Tunggal Terengganu kali ke-18 di sini semalam.

Mohd Shafaruddin berkata, mengikut rekod YPK sehingga kini terdapat lebih 25,000 orang ibu tunggal dan 3,000 orang bapa tunggal di negeri Terengganu.

Beliau berkata, kebanyakan ibu tunggal yang menyara diri dan keluarga mereka dengan berniaga dan menternak itu turut dibantu oleh YPK.

Mohd Shafaruddin berkata dalam memperkasakan ibu tunggal, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina sebuah bangunan untuk kegiatan ibu tunggal di Kampung Cendering di sini dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Beliau berkata, kini cadangan pembinaan bangunan tersebut berada di peringkat akhir di mana Jabatan Kerja Raya sedang menyiapkan pelan bangunan itu dan tender pembinaannya akan dikeluarkan Jun ini.

Mohd Shafaruddin berkata, bangunan setinggi dua tingkat itu lengkap dengan pusat pentadbiran ibu tunggal, dewan dan juga kiosk bagi mereka melaksanakan aktiviti di situ.

Dalam masa yang sama, beliau berkata YPK telah menyewa sebuah bangunan di Hulu Terengganu untuk dijadikan pusat sehenti untuk ibu tunggal di daerah berkenaan dan berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, setiap daerah akan mempunyai pusat aktiviti seperti itu. — Bernama