Pelantikan sebagai TYT penghormatan tertinggi

0

PENGHARGAAN: Taib (dua kanan) menerima cenderamata daripada Wan Hamid (tengah) sambil diperhatikan Ragad (kanan), Wong (dua kiri) serta Datin Sri Pauline Leong (kiri) di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Pelantikan bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri merupakan satu penghormatan tertinggi selepas mengambil kira sumbangan lebih 50 tahun beliau kepada negeri dan negara.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sumbangan Taib kepada negeri ini untuk sekian lama merupakan sesuatu yang luar biasa serta tidak dapat ditandingi oleh mana-mana individu lain.

“Sarawak amat bertuah mempunyai Pehin Sri (Taib) sebagai ketua kerajaan terutamanya pada tahun-tahun awal pembentukan negeri dan kini sebagai Yang di-Pertua Negeri,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Lawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri ke Sibu, malam kelmarin.

Hadir sama ialah isteri TYT Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Jemut Masing, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce serta dif-dif kenamaan.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat berkata, banyak perkara penting dan bersejarah berlaku sepanjang 30 tahun Taib menerajui kepimpinan negeri ini.

“Rakyat Sarawak dapat menyaksikan perubahan pesat serta transformasi sama ada dari segi fizikal, sosial dan ekonomi. Apabila Taib menjadi Ketua Menteri pada 1881, beliau menghadapi pelbagai cabaran, kemudahan asas dan infrastruktur kurang sempurna, kekurangan tenaga manusia bagi meneroka sumber yang ada, pasaran domestik terhad serta masalah kemiskinan.

“Namun, beliau (Taib) mempunyai keberanian, optimis dan semangat keyakinan tinggi. Beliau melaksanakan agenda politik pembangunan serta menyelesaikan masalah demi masalah, membawa pembangunan dan kemajuan berterusan dan kehidupan lebih baik kepada penduduk Sarawak,” katanya.

Selepas itu, Taib melaksanakan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang terus membawa Sarawak ke hadapan sekali gus membantu menjadikan penduduk negeri ini sebuah masyarakat berpendapatan tinggi.

Bagi merealisasikan semua itu, Taib meletakkan pelbagai usaha membangunkan sumber manusia dengan mendiri pelbagai institusi pendidikan dan pusat latihan termasuk di Sibu.

“Di Sibu kita mempunyai Kolej Laila Taib (KLT) dan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) yang menjadi kebanggaan kita semua di sini.

“Ini merupakan sebahagian institusi pendidikan didirikan oleh beliau selain di Kuching, Miri, Bintulu dan Mukah bagi memenuhi keperluan sumber manusia pada hari ini dan masa akan datang,” jelas Wong.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Sarawak amat berterima kasih dan terhutang budi dengan Taib atas sumbangan besar yang diberikan kepada negeri ini.