Unsur ekstrem tidak boleh diterima di Malaysia: Najib

0

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan, tutur kata mahupun tulisan berunsur ekstrem atau melampau langsung tidak boleh diterima dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial lebih parah.

“Sebaliknya, dengan pendekatan sederhana, kita boleh memahami antara satu sama lain dan seterusnya mengekalkan kehidupan bersatu padu,” katanya dalam perutusan sempena Hari Songkran 2014 yang disambut masyarakat Siam hari ini.

Najib menegaskan konsep kesederhanaan inilah yang perlu dihayati dalam usaha pembinaan negara bangsa yang bersatu padu dan harmoni, iaitu menggunakan pendekatan sederhana dalam menangani apa juga isu.

“Saya difahamkan kedatangan tahun baharu masyarakat Siam selalunya diraikan secara sederhana tetapi tetap memberi kesan dan sambutannya kekal meriah,” katanya tentang sambutan itu.

Ini, kata Najib, menunjukkan bahawa masyarakat Siam sangat mementingkan kesederhanaan dalam kehidupan mereka.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan asas perlembagaan serta memperjuang keadilan sosial buat semua rakyat.

Najib menarik perhatian bahawa Perlembagaan Malaysia sememangnya menjamin hak dan kebebasan semua rakyat.

“Ini termasuk kebebasan beragama, mengamalkan kepelbagaian budaya serta merayakan hari kebesaran agama dan kaum masing-masing,” jelasnya.

Mengakhiri perutusan itu dengan ucapan Selamat Menyambut Hari Songkran, Najib mengukir harapan semoga kedatangan tahun baharu kali ini “membuka sinar dan harapan baharu kepada seluruh masyarakat Siam di bumi bertuah ini serta membuka laluan ke arah kejayaan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan”. — Bernama