Perlis sasar kutip 14 emas SUKMA XVII

0

PUTRAJAYA: Kontinjen Perlis menyasarkan 14 pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 dari 25 Mei hingga 4 Jun ini.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan prestasi atlet negeri berkenaan.

“Kita akan sediakan insentif kepada para atlet yang berjaya meraih pingat emas pada temasya sukan tahunan berkenaan tapi jumlahnya adalah dirahsiakan.

“Insentif tersebut bakal diberikan kepada mereka bagi memberi rangsangan kepada atlet untuk terus meraih pingat emas,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam dan penyerahan cek temasya sukan berkenaan di sini.

Perlis menerima penajaan berjumlah RM5.5 juta secara keseluruhan daripada syarikat korporat bagi menjayakan temasya sukan itu.

Mengulas mengenai persiapan Perlis sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan, Azlan berkata sehingga kini 95 peratus persiapan dari segi infrastruktur sudah selesai.

“Kebanyakan infrastruktur memang sedia ada tapi kita jalankan penambahbaikan dan pusat akuatik dijangka siap pada minggu pertama bulan Mei,” katanya.

Azlan berkata kira-kira 1,650 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan sepanjang temasya itu kelak. — Bernama