Sarawak duduki tempat ketiga Boling Antara Negeri Astro

0

KUCHING: Sarawak menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas meraih dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Boling Antara Negeri Astro Ke-27 di Megalanes Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.

Ini merupakan pendedahan terbaik kepada beberapa pemain pasukan bayangan SUKMA terutamanya Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul yang menunjukkan persembahan terbaiknya.

Uzair memenangi pingat emas dalam kategori ‘Boys All Event’ selepas melakukan 3,739 jatuhan pin mengalahkan Prasert Annansathporn dari Kuala Lumpur (3,665 pin) dan Muhd Nashhan Onn dari Johor (3,664 pin).

Beliau juga merupakan ahli pasukan yang merangkul pingat perak dalam acara ‘Boys Team’ dan memenangi pingat gangsa peribadi dalam acara ‘Boys Singles’.

Satu lagi emas Sarawak diraih gandingan Johanthan Ding Sagan dan Isaac Russell Paul yang melakukan 2,698 jatuhan pin dalam acara beregu lelaki.

Daniel Tan dan Christopher Tiong dari Sarawak memenangi perak dengan 2,557 jatuhan pin, manakala pasangan Johor, Syed Mohd Hafiz Syed Hussin dan Muhd Nur Aiman menduduki tempat ketiga selepas menjatuhkan 2,541 pin.

Jonathan turut meraih gangsa dalam Men All Event apabila berjaya melakukan 3,837 jatuhan pin.

Uzair, Musayyar Khalid, Anthony Luang Cheng dan Muhd Syafiq Sajeli meraih pingat perak selepas menggumpul 4,726 jatuhan pin dalam acara lelaki berpasukan.

Kuala Lumpur merangkul emas dengan 4,852 jatuhan pin manakala Sabah di kedudukan ketiga dengan 4,675 pin.

Dalam beregu wanita, Jackelyn Ng dan Jocelyna Judith yang memunggut 2,503 pin merangkul perak selepas tewas kepada pasangan Selangor, Siti Safiyah Anuah dan Shalin Zulkifli dengan kelebihan lima pin.

Tempat ketiga diraih pasangan Selangor, Selva Nivashini dan Natasha Roslan dengan 2,437 pin.

Sementara itu, Jackelyn Ng, Jocelyna, Nadine Kong Xiao Feng dan Dayang Kharuniza Dhiyana Jamalidon melakukan 4,664 jatuhan pin untuk meraih tempat ketiga dalam acara wanita berpasukan.

Selangor muncul juara keseluruhan dengan tujuh emas, tiga perak dan empat gangsa manakala Kuala Lumpur di tempat kedua dengan lima emas, empat perak dan dua gangsa.