Zulmazran intai slot ke Sukan Asia 2014

0

KUALA LUMPUR: Pemain elit boling lelaki kebangsaan, Zulmazran Zulkifli kini memberikan fokus sepenuhnya untuk meraih slot ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September ini.

Juara kategori Masters lelaki Kejohanan Boling kebangsaan 2014 itu menyifatkan persaingan untuk merebut slot ke temasya sukan itu kian sengit selepas beberapa pemain skuad pelapis diserapkan ke dalam skuad elit kebangsaan.

“Tahun ini agak mencabar kerana ramai pemain boling yang agak bagus seperti Timmy (Tan) dan Isaac (Russell Paul) dan kemenangan pada Kejohanan Boling Kebangsaan (semalam) agak penting untuk mencerahkan peluang saya meraih slot ke Sukan Asia.

“Saya bersedia untuk memberikan saingan sengit kepada pemain boling lain dalam merebut slot ke temasya sukan berkenaan,” katanya kepada Bernama semalam.

Zulmazran, 31, berkata skuad kebangsaan akan menyertai beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa selepas ini termasuk Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 2-10 Mei sebagai persediaan awal ke Sukan Asia.

“Memandangkan Sukan Asia hanya tinggal empat bulan, maka setiap pemain harus berjuang untuk meraih slot ke temasya berkenaan.

“Siapa yang mempamerkan aksi hambar pada manamana kejohanan selepas ini, jurulatih (Holloway Cheah) tidak teragak-agak untuk menggantikan mereka dengan pemain lain,” kata Zulmazran. — Bernama