Central FC, Long Tengoa buka tirai aksi Liga Lawas

0

LAWAS: Pasukan Central FC dan Long Tengoa membuka tirai kejohanan Liga Bola Sepak Lawas bagi merebut Piala Datuk Henry Sum Agung di sini, petang Ahad lalu.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong melakukan sepak mula kejohanan itu berkata sukan bola sepak sebagai medium untuk rakyat merapatkan hubungan dan perpaduan antara kaum.

Henry berkata, golongan belia perlu memberi fokus kepada penganjuran aktiviti sihat seperti bersukan untuk mengukuhkan hubungan selain mengelak terlibat dalam kancah ‘dunia hitam’ yang tidak menjanjikan masa depan.

“Melalui sukan kita bersatu dan melangkah bersama untuk bergerak maju dalam satu pasukan lebih besar dan kuat,” katanya pada sepak mula kejohanan itu.

Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim, pengerusi pengelola, Kaunselor Liaw Ho Peng dan jawatankuasa penganjur.

Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Henry optimis kejohanan serupa merupakan landasan kepada golongan muda melangkah jauh dalam sukan nombor satu itu.