Pindaan Akta Kanak-Kanak masih diteliti Peguam Negara

0

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman berat kepada pelaku jenayah terhadap kanak-kanak masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

“Kita ada pindaan yang banyak iaitu lebih 70 peratus termasuk hukuman lebih berat serta cara-cara menangani kes berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 kementeriannya, di sini semalam.

Menurut Rohani, beliau juga akan memastikan akta yang dipinda itu diwarta dan dilaksana secepat mungkin selepas diluluskan oleh Parlimen, bagi menangani isu jenayah terhadap kanak-kanak yang semakin membimbangkan sekarang.

Menerusi pindaan itu juga pelaku yang disabitkan kesalahan akan dimaklumkan kepada penduduk di kawasan tempat tinggalnya sebagai langkah berjaga-jaga, kata Rohani.

Beliau yang ditanya mengenai kes kanak-kanak berusia enam tahun yang mati dipercayai akibat didera di Sarawak pada Jumaat lepas, turut berkata dua orang kaunselor sudah dihantar ke Simunjan bagi membantu ibu dan bapa mangsa menangani trauma yang mereka alami ekoran kejadian.

Rohani yang menyatakan kesedihan berhubung kejadian turut berharap polis dapat memberkas pelaku jenayah tersebut secepat mungkin untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Media melaporkan kanak-kanak perempuan itu yang tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya ditemui mati dengan kesan pendarahan di kemaluan serta gigitan di tangan.

Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun diikuti seorang wanita bagi membantu siasatan yang dilakukan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bercakap mengenai perkara lain, Rohani mengucapkan tahniah kepada warga kementeriannya kerana mencatatkan penjimatan tenaga elektrik kedua tertinggi dalam kalangan kementerian, iaitu sebanyak 14.9 peratus bagi tempoh Januari-Februari lalu. — Bernama