APMM percaya aktiviti seludup didalangi warga tempatan dan asing

0

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini percaya aktiviti penye­ludupan minuman keras dan rokok ke utara negeri ini yang didalangi oleh warga tempatan turut melibatkan warga asing.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Miri Komander Mar­itim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman memberitahu, warga asing tersebut disyaki diper­gunakan untuk menghantar barangan diseludup masuk ke negeri ini melalui Kuala Lawas pada 13 April lalu dan mereka dibayar atau diupah oleh warga tempatan.

Tindakan tersebut diper­cayai dilakukan oleh war­ga tempatan terbabit bagi mengelak mereka daripada dikesan atau ditangkap oleh pihak berkuasa.

Syed Adli mendedahkan perkara tersebut pada sidang media bagi mengumumkan rampasan pertama dilaku­kan agensi berkenaan pada tahun ini di pejabat operasi APMM Wilayah Miri di sini, semalam.

Pada 13 April lalu, APMM Miri (DM 13) berjaya men­umpaskan satu kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok di jeti feri lama Kuala Lawas di Lawas.

“Rampasan dibuat pada waktu malam hari yang sama selepas APMM berjaya mengesan dua buah bot laju dipercayai datang dari Pulau Labuan dan memasuki Kuala Lawas dalam keadaan men­curigakan.

“Kedua-dua bot tersebut diekori sehingga mereka tiba di jeti feri lama Kuala Lawas dan melakukan kerja-kerja pemunggahan barang yang dibawa,” katanya.

Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran ang­gota APMM di jeti tersebut, mereka terus melarikan diri menggunakan kedua-dua bot laju berkenaan dan mening­galkan barang-barang yang dipercayai hendak diseludup ke kawasan berhampiran.

Antara barang-barang ditinggalkan dan dirampas APMM ialah minuman keras pelbagai jenis seperti Lion Stout terdiri daripada 625ml (468 botol) dan 330ml (1,248 botol), bir ‘Skol’ (240 tin), ‘Asahi’ (719 tin), ‘Hite Ice Point’ (240 tin), ‘Oettinger Export’ (648 tin) dan ‘Tsingtao’ (456 tin) semuanya dianggarkan bernilai RM13,132.64 selepas cukai.

Turut dirampas rokok jenama Premium sebanyak 74 karton dianggarkan bernilai RM7,841.04 selepas cukai.

“Jumlah keseluruhan ram­pasan selepas cukai diang­garkan bernilai RM20,973.68 dan kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.