Atlet S’wak terbukti cemerlang

0

KUCHING: Atlet-atlet taekwondo Sarawak meraih kejayaan cemerlang pada pusingan kedua Sirkit Remaja dan Senior Kejohanan Taekwondo Kebangsaan Malaysia Sportexcel-NSCMilo yang berlangsung di Perlis.

Kontinjen Sarawak (Persatuan Taekwando Negeri Sarawak) membariskan seramai 10 orang atlet termasuk pengerusi teknikal dan ketua jurulatihnya, Tan Check Joon berjaya menggondol empat pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Kejayaan itu membolehkan kontinjen taekwondo Sarawak menduduki tangga ketiga secara keseluruhan dalam kategori 17 tahun ke atas.

Atlet-atlet cemerlang terdiri daripada Tie Ton Siong, Mohd Amirul, Marena Tee dan Cynthia Li yang menghadiahkan emas manakala perak disumbangkan oleh Virtlam Umpau dan Licky Donny Ling.

Sementara Michelle Ting, Chai Chun Hui, Caren Li Ying Ning dan Enzo Scifo pula meraih gangsa.

Presiden Persatuan Taekwando Negeri Sarawak (PTNS), Mohd Salleh Sani ternyata amat gembira dan berbangga dengan prestasi cemerlang yang dikecapi skuad taekwondo Sarawak pada kejohanan tersebut.

Beliau memberitahu, para atlet remaja kontinjen negeri telah memperagakan semangat perjuangan kental mencipta kejayaan cemerlang pada kejohanan selama dua hari itu.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian cemerlang para atlet muda skuad taekwondo kita (Sarawak) apabila berjaya membuktikan kejayaan pada kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd Salleh menegaskan bahawa hanya PTNS diberi kuasa melaksanakan aktiviti taekwondo di Sarawak serta diiktirafkan oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) untuk menghantar atlet-atlet mewakili negeri dan negara pada kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti SUKMA, Sukan SEA dan kejohanan lain.

“Semua aktiviti PTNS dan penyertaan para atlet pada kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa disokong dan dianjurkan oleh Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) dan ahli-ahli gabungannya,” katanya.

Atlet-atlet taekwondo Sarawak dilatih oleh jurulatih, Kochphoom Nimmit dan Li Jin Voon manakala Shirley Wong dan Joseph Chang bertindak selaku pengadil.