Kerja tapak projek lapangan terbang baharu Mukah bermula

0

KUCHING: Kerja peringkat awal projek pembinaan lapangan terbang baharu Mukah bernilai RM133 juta di kawasan pinggir pantai tengah Sarawak akan dimulakan hari ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kerja-kerja untuk tapak lapangan terbang itu yang dijalankan oleh Hock Peng Furniture and General Contractor Sdn Bhd dijadualkan siap menjelang Disember 2015, sebelum fasa seterusnya yang dianggarkan bernilai RM320 juta dilaksanakan.

“Projek pembinaan lapangan terbang Kod 3C yang boleh menampung pesawat ATR70 berbanding Twin Otter (kapasiti lapan penumpang) dijangka siap sepenuhnya dan boleh mula beroperasi pada tahun 2018, namun kita berharap disiapkan lebih awal.

“Lapangan terbang Kod 3C ini lebih sesuai untuk bandar Mukah yang sedang membangun dan boleh dinaik taraf ke lapangan terbang Kod 4C, bagi pesawat lebih besar seperti Boeing, apabila perlu pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pemberian kontrak antara Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Zuraimi Subki dan Pengarah Urusan Hock Peng Furniture and General Contractor Sdn Bhd Datuk Toh Chiew Hock yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

Lapangan terbang Kod 3C terbabit yang boleh menampung pesawat ATR72 atau F50 antara lain mempunyai kemudahan landasan sepanjang 1,500 meter dan 30 meter lebar; bangunan terminal seluas kira-kira 3,500 meter persegi; stesen bomba dan penyelamat lapangan terbang Kategori 5, menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan stesen kaji cuaca.

Manyin berkata, lapangan terbang baharu itu akan menyediakan perhubungan baharu di sepanjang kawasan pantai yang akan mengekalkan pembangunan ekonomi didorong oleh Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Selain Mukah, katanya, kawasan sepanjang 320 meter itu merangkumi Tanjung Manis, Samalaju, Sibu, Bintulu, Sarikei dan Kapit.

Lapangan terbang yang terletak kira-kira tujuh kilometer ke barat daya bandar Mukah itu adalah berhampiran dengan Politeknik dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah yang baharu.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan persekutuan yang telah meluluskan dana berjumlah RM133 juta untuk memulakan projek pembinaan lapangan terbang baharu tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan di Mukah bulan lepas, kerja pembinaan projek lapangan terbang baharu Mukah itu akan dimulakan tidak lama lagi memandangkan Kementerian Kewangan telah meluluskan dana RM133 juta.

Manyin pada masa sama turut mengumumkan tender bagi kerja peringkat seterusnya adalah terbuka.

“Ia terbuka kepada 20 pembina. Semoga kontraktor terbaik memenangi tender tersebut,” katanya.