Penjaja haram cabut lari bila penguat kuasa MPS datang

0

SIBU: Satu pasangan warga emas melarikan diri sebaik sahaja anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tiba di pasar basah Dewan Suarah di sini pagi semalam.

Pasangan terbabit dikatakan menjaja secara haram dengan menjual sayur-sayuran di pasar basah tersebut.

Bertindak seawal jam 6.30 pagi, anggota penguat kuasa MPS diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk An­drew Wong tiba di pasar terbabit.

Bagaimanapun, pasangan itu terus membungkus sayur jualan mereka seterusnya meninggalkan tempat terse­but sebelum sempat ditahan anggota penguatkuasa.

Wong berkata, beliau menerima beberapa aduan sebelum ini terdapat beberapa penjaja haram mengambil kesempatan berniaga di sana secara kerap dan kadang-ka­dang sahaja.

“Ini akan menyebabkan kerugian kepada para peniaga membayar sewa kerana meng­hadapi saingan penjaja haram. Ini tidak adil bagi mereka. Justeru, MPS memandang serius hal ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penjaja haram ini ditangkap atas kesalahan berniaga secara haram MPS akan mengenakan hukuman berdasarkan un­dang-undang sedia ada.

“Selain itu, semua produk dijual akan dirampas,” ka­tanya.

Dilaporkan semasa serbuan di pasar basah itu, semua penjaja haram tidak ke­lihatan melainkan pasangan warga emas terbabit yang berjaya melarikan diri dari­pada dicekup MPS.

Sementara itu, Wong mem­beri amaran kepada penjaja berniaga di kawasan kaki lima contohnya di kawasan kaki lima kedai kopi atau di luar premis perlu menghentikan operasi mereka.

Menurutnya, berniaga sedemikian adalah haram walaupun mendapat perse­tujuan daripada pengendali kedai kopi.

Wong mendapati banyak penjaja berniaga itu di sini.

“MPS mengadakan me­syuarat untuk mengambil tindakan seterusnya bagi dikenakan kepada mereka yang masih degil selaras dengan undang-undang sedia ada,” katanya.