Tiada lagi aktiviti pelancongan di laut selepas jam 6 petang

0

 

MOHAMMAD (kanan) memberi penerangan kepada pengusaha-pengusaha resort di atas pulau perairan Esszone.

Pengusaha resort digesa patuh: Esscom

KOTA KINABALU: Pengusaha resort di perairan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) digesa mematuhi langkah menetapkan tiada sebarang aktiviti pelancongan laut selepas jam 6 petang yang berkuatkuasa kelmarin.

Langkah efektif itu termasuklah melarang sebarang pergerakan bot milik pengusaha resort-resort yang terlibat sebagai usaha menangani kes-kes penculikan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata, langkah itu diambil susulan penyelidikan ke atas kes-kes penculikan yang terjadi sebelum ini adalah ketika waktu gelap.

“Kena beri kerjasama berhubung perkara ini kerana saya sudah beri amaran dan sekiranya enggan, anda (pengusaha resort) perlu bertanggungjawab ke atas kejadian tidak diingini,” katanya.

Bagaimanapun menurut Mohammad, peraturan baharu itu tidak akan dikenakan kepada nelayan tempatan yang rata-ratanya menjalankan aktiviti memancing ketika malam, namun pemantauan berterusan giat dilaksana oleh pasukan keselamatan negara.

Beliau sementara itu mendedahkan, pemilik resort dikehendaki menyerahkan senarai nama semua pekerja setiap tiga hari bermula Jumaat depan kepada Esscom sebagai pemantauan dan rujukan pemeriksaan.

“Amaran keras diberikan kepada pengusaha resort yang masih berdegil menggunakan pekerja asing tanpa izin dan mereka hanya diberikan masa selama 24 jam bermula petang ini untuk tidak menggunakan lagi khidmat pekerja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha resort di atas pulau perairan Esszone, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pertahanan Esscom Mejar Jeneral Datuk Masrani Paiman dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Maritim Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi.

Dalam pada itu, Mohammad turut berkata pihaknya menerima kira-kira lapan laporan daripada pihak risikan berhubung rancangan kes penculikan di negeri ini sejak bulan November tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, hanya satu kejadian penculikan berlaku iaitu di Resort Singamata pada 4 April lalu setelah pihaknya menerima laporan dua minggu sebelum kejadian itu berlaku.

Jelasnya, laporan itu menyatakan lima buah bot cuba melakukan penculikan di resort itu, bagaimanapun empat buah bot berpatah balik ke selatan Filipina kerana melihat rondaan dan kawalan ketat daripada pihak keselamatan negara di kawasan berkenaan.