UTM adakan MoU dengan SEC, SSTC

0

 

AZRAAI (dua kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar.

Meneruskan pembangunan industri gas asli di Sabah

KOTA KINABALU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Sabah Energy Sdn Bhd (SEC) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah (SSTC) bagi meneruskan pembangunan dalam bidang industri gas asli di negeri ini.

Majlis menandatangani perjanjian di antara ketiga-tiga pihak berkenaan diadakan di SSTC, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini kelmarin.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM Profesor Dr Mohd Azraai Kassim. SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Harun Ismail manakala SSTC diwakili oleh Pengerusinya Datuk Seri Wong Khen Thau dan UTM oleh Pengarah Bahagian UTM Institut Minyak dan Gas Dr Noor Shawal Nasri.

Pemeteraian MoU antara SEC dan UTM adalah salah satu pembaharuan hubungan yang sudah lama terjalin iaitu sejak tahun 2000 dalam kerjasama melaksanakan kursus latihan kecekapan untuk Jurutera Gas, Penyelia Kejuruteraan Gas dan Jurugegas Gas.

Kursus-kursus yang bakal berlangsung kelak diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan para peserta yang berjaya akan dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagai orang kompeten dalam pelbagai kerja gas yang berkaitan di bawah Akta Bekalan Gas 1993.

Menurut Mohd Azraai, MoU dan MoA yang dijalankan itu akan membolehkan UTM mencapai matlamatnya untuk menjadi contoh dalam mengukuhkan pembangunan sumber manusia terutamanya dalam latihan minyak dan gas latihan serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi industri minyak dan gas.

“Adalah diharapkan agar setiap sisi akan mewujudkan aktiviti penting seperti promosi latihan minyak dan gas kepada organisasi, peluang kerjaya dalam industri minyak dan gas serta penyediaan perundingan dalam industri gas yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Harun berkata, UTM dan SEC telah mengadakan perkongsian dalam pembangunan dan mewujudkan kumpulan tenaga mahir tempatan dalam pengagihan gas asli di negeri ini.

Katanya, ia menyediakan asas bagi pembangunan industri sokongan tempatan di bidang pembinaan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan dan keselamatan pengagihan gas asli.

“SEC akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dalam industri gas yang dianggap sebagai aset yang paling penting.

“Kami juga akan terus mempromosi dan menggalakkan pembangunan kemahiran dan bakat yang diperlukan oleh industri memandangkan perkembangan pesat sektor ini di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Harun turut mengatakan bahawa SEC baru-baru ini telah memperkenalkan satu cara inovatif pengagihan gas asli melalui Sistem Paip Maya yang membolehkan ia untuk memperluaskan pasaran gas asli di luar infrastruktur saluran paip gas bawah tanah yang sedia ada, dan kini SEC mampu mengedar gas ke kawasan sejauh 70 kilometer daripada KKIP.

Terdahulu, Wong dalam ucapannya berkata usaha sama itu diharapkan mampu memperkuatkan lagi kemasukan Sabah dalam industri minyak dan gas.

“Dengan menandatangani MoU ini, SSTC boleh bekerjasama dengan UTM dan Suruhanjaya Tenaga untuk membawa masuk program pensijilan yang relevan dan penting bagi industri minyak dan gas,” katanya.

Kursus-kursus yang terdapat di SSTC ialah kursus-kursus Sijil dalam pengagihan gas untuk Jurutera Gas dan Penyelia Kejuruteraan Gas, Jurugegas Gas (Kelas Satu, Dua dan Tiga) serta kursus ‘Responsible Person’.

Menurut Wong, industri minyak dan gas di Sabah agak muda berbanding di Sarawak dan Terengganu.

“Kerajaan Sabah mempunyai kelebihan dalam membangunkan industri ini bersama-sama dengan pendekatan yang dirancang iaitu dengan mengambil dari pengalaman Kertih, Miri dan Bintulu.

“Pelaburan dalam infrastruktur yang betul dan sumber manusia amat penting untuk menarik lebih banyak pelabur minyak dan gas ke Sabah.

“Oleh itu, SSTC akan berusaha melakukan yang terbaik dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang sesuai dalam membawa program-program latihan berkaitan dengan pensijilan,” katanya.

Beliau berkata, tawaran terhadap sektor minyak dan gas semakin meningkat dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi untuk para pekerja.

Katanya, anak-anak muda khususnya harus digalakkan untuk menceburi dan meneroka dalam industri minyak dan gas dengan menyertai program yang berkaitan dengan kursus minyak dan gas.

“SSTC mahu melahirkan pelatih yang mahir dan cekap kerana kita menyasarkan masa lima hingga enam tahun dari sekarang, minyak dan gas akan menjadi industri utama di Sabah.

“Kami mahu memainkan peranan penting bukan sahaja dalam latihan tetapi juga dalam pembangunan modal insan,” katanya.

Dalam majlis sama juga, turut diadakan penyampaian sijil kepada 13 peserta yang menamatkan kursus Jurugegas Gas Kelas Tiga dan Kursus ‘Responsible Person’.