Jangan kerja ‘andang-andang’: Jame

0

Jame memalu gong bagi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Maktab Sabah sambil diperhatikan oleh Fatimah (dua dari kanan), Nuinda (kanan) dan jemputan lain.

Peringatan kepada ibu bapa dan guru bangunkan pendidikan generasi mudaKOTA KINABALU: Ibu bapa dan guru-guru diingatkan agar tidak bekerja sekadar ‘andang-andang’ (biasa) dalam membangunkan pendidikan generasi muda.

Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Jame Alip berkata, kerja sekadar andang-andang akan membuahkan hasil yang biasa sahaja.

“Dalam menghadapi cabaran masa kini, ibu bapa dan warga pendidikan perlu berani membuat perubahan dan transformasi agar pendidikan dapat dibangun dan dilonjakkan lagi ke tahap yang lebih membanggakan.

“Jika kita bekerja hanya sekadar andang-andang, maka hasilnya juga di tahap yang biasa tanpa peningkatan prestasi sama ada dalam aspek akademik, pendidikan anak, kokurikulum mahu pun sahsiah pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah di dewan perdana sekolah itu, kelmarin.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PIBG Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor, Pengetua Cemerlang Sekolah Hajah Nuinda Haji Alias, dan Timbalan Yang Dipertua PIBG Haji Kamaruddan Abdullah.

Jame berkata, ibu bapa dan warga pendidik juga perlu mengorbankan masa dan komited dalam mendidik anak-anak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan.

Tambahnya, PIBG juga perlu kreatif dan inovatif dalam menganjurkan program dan aktiviti dalam usaha membantu pembangunan sekolah.

Menurutnya, untuk mencapai kecemerlangan pendidikan supaya semua peringkat warga pendidik dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh komitmen.

Katanya, PIBG adalah media utama yang melambangkan permuafakatan ibu bapa dengan pihak sekolah dalam membangunkan generasi muda.

“Dalam dunia pendidikan masa kini yang semakin mencabar, anak-anak kita perlu diperkasakan agar mampu menghadapi cabaran itu,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata jawatankuasa PIBG memohon agar Jabatan Pelajaran tidak memindahkan pengetua cemerlang Maktab Sabah kerana perkhidmatannya amat diperlukan.

Beliau menggesa ibu bapa mengambil tahu akan peranan mereka di rumah di samping bertanggungjawab terhadap perkembangan dan prestasi akademik anak.

Katanya, ibu bapa juga perlu menyediakan suasana pembelajaran anak di rumah selain berinteraksi dan komunikasi dengan mereka demi mengeratkan kemesraan antara ibu bapa dan anak.