Kawasan 68,770 hektar di Sri Aman dilulus untuk diukur perimeter

0

SKRANG: Sebanyak 74 kawasan di bahagian Sri Aman yang melibatkan keluasan 68,770 hektar telah diluluskan untuk diukur secara perimeter sejak 2010 hingga sekarang.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman Mohd Razali Arshad  berkata, sepanjang tempoh itu 48 kawasan yang berkeluasan 20,717 hektar telah siap diukur dan 46 daripadanya telah diwartakan di bawah Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri (KTN).

Menurutnya lagi, pihaknya juga telah menyerahkan 29 warta tanah untuk kawasan yang telah diwartakan kepada pemilik daripada 60 rumah panjang serta tiga kampung Melayu di bahagian Sri Aman.

“Baki 17 warta tanah yang telah siap akan diserahkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Warta Di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Balai Raya Skim Skrang di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa telah diberi penghormatan menyempurnakan majlis itu.

Razali berkata, sebanyak lapan kawasan di Skrang dengan keluasan 4, 879 hektar yang melibatkan 19 rumah panjang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera, Kanun Tanah Negeri.