Operasi bendung kes dadah dimantapkan

0

SEMOGA BERJAYA: Moses (kiri) menyerahkan dokumen kepada Lucas (kanan) yang kini menyandang jawatan Ketua JSJN Sarawak sambil disaksikan Sabtu, semalam.

Polis akan tingkat usaha biarpun statistik kes dadah di Sarawak masih di tahap terkawal

KUCHING: Operasi membendung jenayah membabitkan dadah di seluruh Sarawak perlu dimantapkan lagi untuk memastikan statistik kes tersebut menurun.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Sabtu Osman berkata, usaha itu perlu dilipatgandakan sebelum jenayah berkaitan dadah menjadi berleluasa di negeri ini.

“Memang ada sedikit peningkatan dari segi kes, tetapi jenayah membabitkan dadah di Sarawak masih terkawal dan di tahap yang tidak membimbangkan.

“Bagaimanapun, operasi membanteras dadah perlu diperbanyakkan dalam jangka masa enam bulan ini. Saya mahu angka kes dadah menurun,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Statistik menyaksikan 4,414 kes dicatatkan, dan 4,633 tangkapan dibuat pada 2013 berbanding 3,099 kes direkodkan dan 3,338 tangkapan dilakukan pada tahun sebelum itu.

Manakala tempoh Januari hingga Mac tahun ini menyaksikan 1,414 kes dadah dicatatkan, dan 1,876 tangkapan dibuat berbanding 1,261 kes dan 1,331 tangkapan pada tempoh sama 2013.

“Dalam kebanyakan kes, individu-individu ditangkap merupakan pesalah berulang atau penagih tegar,” katanya.

Terdahulu, Sabtu menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik antara Superintenden Moses Agat yang bersara hari ini dan Superintenden Lucas Akit.

Moses, 59, yang telah bertugas dalam pasukan polis selama 38 tahun, memilih untuk bersara lebih awal atas faktor kesihatan.

Beliau yang menyandang jawatan itu di negeri ini sejak September 2006 melahirkan keyakinan bahawa penggantinya nanti mampu meneruskan usaha memerangi dadah di negeri.

“Kita tidak mahu kes dadah menjadi satu masalah besar di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Lucas, 49, memberitahu, beliau akan memberikan komitmen penuh dalam membanteras serta mengurangkan kes dadah.

“Saya akan meneruskan usaha-usaha baik yang dilakukan Moses sepanjang perkhidmatan beliau dan berusaha memperbaiki jika terdapat kekurangan.

“Kita mahu mengekalkan prestasi Sarawak yang lebih baik dari negeri-negeri lain,” katanya yang sebelum ini bertugas di bahagian Perundangan/ Naziran Polis Pulau Pinang.