Pasukan keselamatan balas tembakan penceroboh di Kampung Tanjung Labian

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu pasukan keselamatan menjalankan operasi ‘cut-off’ untuk menghalang penceroboh daripada melarikan diri dari Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu pada 6 Mac tahun lepas, bertindak membalas tembakan dilepaskan beberapa penceroboh.

Mejar Mohd Afandi Yusuf dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di Kem Lok Kawi dekat sini berkata pasukannya ditembak selepas seorang daripada anggota pasukannya menjerit “musuh” selepas melihat penceroboh menghampiri mereka pada jarak kira-kira 50 meter.

“Pasukan saya dihampiri tiga atau empat orang penceroboh berpakaian reman dengan seorang dilihat memegang parang di tangan kanannya.Yang lain tak berapa jelas (apa yang mereka bawa).

“Pada jarak 30 meter, salah seorang anggota pasukan saya teriak “musuh” dan ada tembakan dari arah hadapan.

Pada masa itulah kami nampak ada antara penceroboh membawa senjata api laras panjang dan menembak ke arah kami,” katanya.

Saksi ke-23 pihak pendakwa itu merupakan anggota tentera yang pertama memberikan keterangan pada perbicaraan ini, berkata sepanjang berbalas tembakan itu selama 15 hingga 20 minit, penceroboh yang memegang parang jatuh ke tanah manakala lainnya melarikan diri.

“Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa daripada perspektif taktikal, anda berada di kawasan lebih tinggi, (oleh itu) anda mempunyai kelebihan terhadap musuh yang berada di kawasan lebih rendah,?” soal peguam Datuk N. Sivananthan, dan Mohd Afandi bersetuju.

Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa satu-satunya sebab penceroboh tahu lokasi pasukannya, terdiri daripada anggotakomando ATM dan VAT69  adalah kerana seorang daripada anggota pasukannya berteriak “musuh”.

“Dia (anggota pasukan) teriak “musuh” untuk pasukan  kami bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan,” jelasnnya.

Di kandang tertuduh ialah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang berdepan pelbagai pertuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas dan melindungi orang yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung yang berlangsung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama