Pekerja binaan cedera rumah dirempuh 4×4

0

Beginilah keadaan kenderaan yang melanggar rumah kongsi pekerja binaan.

SANDAKAN: Seorang pekerja binaan cedera selepas rumah kongsi yang didiaminya bersama isteri serta anaknya dirempuh sebah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Buli Sim-Sim, awal pagi Rabu. Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Fazdil Mohd Ali berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Salleh Malik, 25, mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala isteri serta anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa bersama isteri serta anaknya dikatakan sedang tidur dalam rumah sebelum kereta terbabit merempuh rumah kongsi itu.

“Kereta itu dipercayai dari arah bandar Sandakan menuju ke Sim-Sim sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh rumah kongsi pekerja yang terletak di tepi jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kenderaan dikatakan melarikan diri sebaik merempuh rumah kongsi itu sebelum datang ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

Fadzil berkata, mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.