Pengetua perlu peka perubahan era globalisasi

0

UNTUK KENANGAN: Abdillah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Fatimah yang hadir mewakili Adenan pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh sempena Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-53 di Kuching, malam kelmarin.

Pendekatan terkini dalam pendidikan mampu jana modal insan berkualiti warisi kemajuan negara

KUCHING: Ledakan ilmu pengetahuan berlaku setiap masa menuntut semua pengetua di negara ini agar sentiasa peka kepada perubahan dalam era globalisasi, kata Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Menurutnya, pendekatan dan kaedah pengurusan terkini serta kemajuan dalam ilmu pendidikan seharusnya dikecapi demi menjayakan agenda besar pendidikan negara bagi menjana modal insan berkualiti yang bakal mewarisi kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan negara.

“Oleh itu, kita (pengetua) perlu berusaha mengorak langkah awal bagi memastikan visi dan aspirasi iaitu akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, perpaduan, efisien atau kecekapan yang tinggi dalam pelaksanaan dasar dan program pendidikan dapat direalisasikan serta kemahiran teknologi komputer yang bakal menjadi aspek penting pengurusan masa depan perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah semasa merasmikan Majlis Makan Malam Lan Berambeh sempena Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-53 di Hotel Riverside Majestic di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Adenan menyifatkan penganjuran persidangan bertemakan ‘Kepimpinan Pengetua Pemangkin Keberhasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia’ itu bertepatan dan kena pada tempatnya.

“Saya amat bangga kerana persidangan sebegini dapat menyediakan landasan bagi membolehkan para pengetua berbincang dan bertukar fikiran secara profesional untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, pengurusan dan perkhidmatan di sekolah.

“Persidangan seperti ini sudah tentulah dapat menghasilkan resolusi dan penyelesaian bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, peningkatan kualiti pengurusan juga sudah tentu dapat menjimatkan masa ke arah pencapaian matlamat, mengurangkan pembaziran kos dan yang lebih bermakna sumber dan tenaga dapat diguna secara optimum.

“Pengetua berkualiti sudah tentu menghasilkan sekolah yang berkesan dan membawa banyak kecemerlangan kepada organisasinya,” tambah Adenan.

Dalam pada itu, Adenan memberitahu seorang pemimpin berkualiti sewajarnya mempunyai ketokohan dan penampilan personaliti yang hebat serta mampu memeliharanya setiap masa.

“Pengetua yang mempunyai personaliti yang tinggi dapat menjelmakannya melalui pertuturan, akal budi dan tingkah lakunya.

“Imejnya yang baik disaluti dengan ciri kepimpinan yang berkualiti pasti membuatnya disegani dan dihormati.

“Hal ini secara langsung akan membantu menyumbang kepada keberkesanan pengurusan dan kepimpinannya,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Khidmat Masyarakat dan Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Mazlan Mohamad, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Abdillah Adam, Yang Dipertua (YDP) Pengetua Sekolah Malaysia Muhamad Khailani Abdul Jalil, YDP Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Marcus Hugo Matu Lejau serta 527 pengetua dari seluruh negara.