RELA giat merekrut lebih ramai ahli

0

Capai hasrat 1Rumah 1RELA di setiap rumah panjang, kampung, perumahan

LIMBANG: Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) Limbang menggiatkan usaha untuk mencapai hasrat 1Rumah 1RELA di setiap rumah panjang, kampung dan perumahan di sini dengan menarik penyertaan masyarakat termasuk golongan belia menyertai pasukan keselamatan itu.

Pegawai RELA Daerah Limbang Leftenan Kolonel Mat Usin Bakar berkata, pelbagai program turun padang dijalankan untuk ‘menambat’ hati masyarakat selain meningkatkan kesedaran mereka untuk menjaga keselamatan dengan mendaftar sebagai ahli RELA.

Jelasnya, setakat ini RELA berjaya menarik sekitar 5,051 ahli baharu terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai pasukan tersebut sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Katanya, daripada jumlah itu 3,483 terdiri daripada RELA lelaki dan 1,568 lagi adalah RELA wanita.

“Setakat awal tahun ini kami sudah berjaya mendaftar lebih 5,000 ahli baharu untuk menyertai RELA dan ini merupakan satu pencapaian membanggakan dalam usaha kami mencapai hasrat 1Rumah 1RELA,” katanya  di sini semalam.

Katanya, pihaknya akan terus turun padang untuk menarik seramai mungkin ahli bagi mencapai sasaran 10,000 ahli baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Tumpuan kami adalah di kampung yang belum mempunyai ahli RELA untuk menjalankan program secara konsisten,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata bagi memantapkan lagi anggota RELA, mereka akan dilatih dan didedahkan dengan tugas dan tanggungjawab RELA.

“Mereka akan dilatih tentang Kursus Asas RELA, latihan kawat, pengenalan daripada aspek perundangan, kepolisan serta aktiviti lain dalam usaha memberi pengetahuan dan pendedahan awal berhubung peranan RELA,” katanya.

Menurutnya, pengambilan anggota secara besar-besaran itu bagi menjadikan RELA sebuah pasukan sukarelawan unggul dalam membantu mengekalkan keamanan secara berterusan.

Mat Usin menjelaskan bahawa pasukan RELA amat relevan dan berperanan dalam membantu agensi kerajaan lain ketika menjalankan operasi terutama Jabatan Imigresen dan polis.

Selain itu beliau menambah, RELA juga menjalankan khidmat bakti seperti gotong-royong dan membersihkan rumah ibadat di samping mengawal keselamatan pada program kenduri dan hari-hari keramaian.

Mat Usin berkata, setakat ini RELA banyak mencatat pencapaian terbaik dalam membantu pasukan keselamatan menjaga keamanan di daerah ini.

“RELA banyak terlibat dalam program yang memerlukan khidmat mereka bagi memastikan keamanan di sini terus terpelihara.

“Di samping program keamanan, mereka juga banyak terlibat dalam program bakti, kebajikan dan kemasyarakatan bersama agensi dan jabatan kerajaan lain yang dijalankan di bandar dan pedalaman,” ujarnya.