Sekolah cemerlang bergantung kepada pimpinan pengetua

0

KUCHING: Ciri-ciri kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kepimpinan seseorang pengetua atau guru besarnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ini kerana dalam melayari bahtera sesebuah organisasi, mereka ini sangat penting dalam menentukan matlamat dan hala tuju yang ditetapkan.

“Dalam konteks ini, pengetua sebagai nakhoda merupakan pemimpin yang mempunyai pengaruh, berwibawa dan mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju pendidikan di negara ini.

“Apabila dilantik sebagai pengetua, mereka memainkan peranan penting serta mempunyai kuasa, autoriti dan tanggungjawab yang bukan hanya melaksanakan visi, misi dan objektif sekolah masing-masing malah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh sempena Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-53 di Hotel Riverside Majestic dekat sini, malam kelmarin.

Fatimah berkata, kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari banyak aspek antaranya kecemerlangan akademik, kokurikulum, pentadbiran, hubung kait antara guru dan ibu bapa serta sikap dan disiplin guru.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut berkongsi pengalamannya mengenai dua guru besar yang dapat dijadikan contoh memiliki kualiti murni yang wajar ada pada semua pengetua atau guru besar.

Menurutnya, dua guru besar berkenaan ialah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sikat, Mukah dan SK St Luke Nanga Baoh, Dalat yang mana beliau berkesempatan mengunjungi sekolah terbabit semasa penyampaian bantuan banjir di lima kawasan banjir di situ, baru-baru ini.

Jelasnya, sikap, kualiti, semangat serta kepimpinan guru besar tersebut yang bukan hanya berusaha membantu meningkatkan mutu pendidikan pelajar serta pembangunan sekolah malah masyarakat di sekelilingnya, wajar dijadikan contoh.

Dalam pada itu, Fatimah yang juga pernah berkhidmat sebagai pengetua sebelum ini melahirkan rasa bangganya melihat ramai jawatan pengetua pada hari ini turut disandang oleh golongan wanita.