DBKU perkenalkan Biro Maklum Mesra

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha mencapai misi ‘untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif dan penyampaian perkhidmatan terunggul’ terutama kepada warga kota.

Sejajar dengan usaha tersebut, DBKU memperkenalkan Biro Maklum Mesra (BMM) sebagai medium kepada warga kota khususnya untuk menghantar sebarang aduan atau cadangan ke Pusat Khidmat 24 Jam DBKU atau Bahagian Khidmat Sosial dan Komuniti (CSS) DBKU hanya menerusi SMS.

BMM mula beroperasi sejak 1 Februari yang lepas selain membuka ruang kepada warga kota untuk menghantar aduan atau cadangan dalam bentuk SMS di talian 016-8864466.

SMS yang dihantar ke talian BMM hendaklah disertakan sekali dengan nama pengirim, nombor kad pengenalan pengirim, alamat pengirim, nombor telefon serta maklumat aduan dan lokasi.

Selain itu, warga kota juga boleh menghubungi Pusat Khidmat 24 Jam DBKU melalui Hotline DBKU di talian 082-446644 dan pegawai yang bertugas akan terus ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.