Fatimah pada mulanya tidak percaya Karpal terkorban dalam kemalangan

0

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah pada mulanya tidak percaya Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh terkorban dalam kemalangan jalan raya awal pagi semalam.

Cuma selepas beliau menonton berita disiarkan di televisyen pagi semalam baharulah beliau sedar ia bukan khabar angin.

“Pada mulanya sukar untuk saya mempercayai berita ini apabila ia mula tersebar luas menerusi laman sosial Facebook kerana menyangka ia adalah khabar angin semata- mata.

“Namun setelah menonton sendiri berita mengenai kematian mendiang menerusi televisyen awal pagi tadi (semalam) baharulah saya mempercayainya.

“Sebagai manusia biasa, sudah pasti saya bersimpati dengan ahli keluarga mendiang dan berharap mereka tabah menerima ketentuan Tuhan meskipun ia agak sukar bagi mereka,” kata Fatimah bersimpati.

Meskipun berbeza fahaman politik, namun bagi Fatimah yang ditemui di pejabatnya semalam tidak menafikan bahawa pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Apatah lagi umum mengetahui bahawa mendiang merupakan seorang ahli politik veteran pembangkang yang hebat serta bersuara lantang dan amat disanjungi oleh rakan-rakan seangkatannya termasuk dalam bidang guaman.

Kemalangan tragik yang berlaku awal pagi semalam menyaksikan Karpal, 74, meninggal serta-merta di tempat kejadian selepas kereta Toyota Alphard yang dinaikinya melanggar belakang lori.

Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah pembantu peribadinya Michael Cornelius Selvam Vellu, 40- an manakala anaknya Ram Karpal dan pemandu tidak mengalami kecederaan.

Mendiang meninggalkan balu Gurmit Kaur, seorang anak perempuan Sangeet dan empat anak lelaki Jagdeep, Gobind, Ramkarpal dan Mankarpal.