Hukuman mati kekal

0

KEPUTUSAN KEKAL: Chan menggunakan topeng penutup mulut dan hidung dieskot
pegawai penjara keluar meninggalkan Mahkamah Rayuan di Kuching, semalam.

MAHKAMAH Rayuan Kuching semalam menolak rayuan seorang bekas penterjemah mahkamah agar hukuman mati ke atasnya dibatalkan.

Datuk Mohamd Ariff Md Yusof, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang sebulat suara membuat keputusan ke atas Mervyn Chan, 30, memutuskan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Miri sebelum ini adalah betul.

Antara lain, panel itu berkata saksi-saksi pendakwaan adalah dipercayai dan mereka tidak ada alasan kukuh untuk mengganggu keputusan itu.

Tertuduh didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Miri kerana didapati bersalah mengedar 460 gram dadah Methamphetamine.

Dia melakukan kesalahan itu pada 29 Januari 2010, jam 1.05 petang ketika ditahan di pejabat Pos Laju Miri semasa mahu mengambil bungkusan mengandungi dadah.

Chan, dalam rayuannya meminta mahkamah membatalkan hukuman mati ke atasnya selepas disabitkan bersalah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia mempunyai satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Tertuduh diwakili peguam Janbir Singh dan Orlando Chua, manakala pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Exlin Yusof Khas.