Jangan mudah terpedaya dengan propaganda pelbagai NGO: Jabu

0

MARUDI: Masyarakat Orang Ulu di daerah Baram terutama suku kaum seperti Kelabit, Saban dan Penan yang tinggal di pedalaman dan hulu sungai seperti di Long Peluang, Long Beruang dan Long Banga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang disuarakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata golongan yang sering bergerak bersama pembangkang itu kerap datang ke kampung bukan untuk membawa pembangunan sebaliknya menyebarkan pembohongan kepada penduduk sambil mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah menurut Jabu, golongan yang sama turut datang ke Long Peluan.

“Justeru ketiga-tiga kaum ini (Kelabit, Saban dan Penan) perlu menolak parti pembangkang ini sama sekali,” jelasnya.

Menurut Jabu lagi, hanya segelitir sahaja masyarakat Orang Ulu di Baram yang menentang pembangunan dengan membuat fitnah dengan pelbagai propaganda sambil menyalahkan kerajaan dan penduduk di Long Peluan.

“Tetapi mereka tidak tahu, mungkin 80 peratus penduduk di luar bandar mahukan pembangunan yang diberikan dan hanya mungkin 20 peratus sahaja yang menolak pembangunan dan perancangan kerajaan,” ujarnya.

Jabu memberitahu demikian semasa berucap di hadapan masyarakat Kelabit, Saban dan Penan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah TK Tuloi Bayu di Long Peluan, kira-kira sembilan jam perjalanan menggunakan jalan darat dari Miri.

Menurut Jabu lagi, mungkin NGO terbabit ‘buta’ kerana tidak mengetahui prosedur kerajaan yang sebenarnya, yang akan membina projek pembangunan di luar bandar dengan mengadakan perbincangan dengan rakyat melalui wakil-wakil kerajaan yang sudah dilantik.

“Ia bukan seperti yang dikatakan oleh pembangkang dan NGO yang hanya tahu menyebarkan pembohongan tetapi tidak ada berbuat apa-apa pun untuk rakyat.

“Jadi jangan mudah terpengaruh dengan golongan ini,” tambahnya.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau.