Kuasai ilmu, dalami ajaran al-Quran

0

BINTULU: Masyarakat Islam perlu menguasai ilmu dan mendalami ajaran al-Quran bagi mendepani segala cabaran dan ancaman dalam pelbagai aspek kehidupan pada hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata cabaran umat Islam pada hari ini begitu getir dengan segala ancaman yang dihadapi.

Katanya daripada aspek keselamatan, kita diuji dengan keangkuhan musuh-musuh Islam untuk menindas serta melemahkan sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada umat Islam hari ini.

“Daripada aspek ekonomi, kita jauh ketinggalan di belakang berbanding bangsa-bangsa lain walaupun kita kaya dengan sumber hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

“Dan daripada aspek sosial pula, kita diancam dengan hakisan nilai-nilai murni dalam masyarakat, terutama dalam kalangan generasi muda umat Islam.

“Pelbagai budaya liar yang sarat dengan kesesatan telah merasuk generasi muda kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada penyampaian hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Ke-54 di Dewan Suarah Bintulu malam kelmarin.

Ujarnya, walau pelbagai kajian dilakukan serta pandangan yang diluahkan, secara realiti masalah ini berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang semakin lalai untuk menghayati al-Quran lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak kita yang semakin kurang mendapat peluang dan pendedahan untuk mempelajari al-Quran.

Oleh yang demikian katanya, beliau percaya adalah semakin mustahak kita mengeratkan hubungan sesama umat Islam bagi mencipta ruang dan peluang untuk mendekatkan anak-anak kita dan masyarakat seluruhnya dengan al-Quran melalui pelbagai program serta aktiviti yang laksanakan untuk menghidupkan semula budaya al-Quran.

Beliau berkata antara jalan keluar kepada masalah kemunduran umat Islam pada hari ini ialah penguasaan sebanyak mungkin ilmu sebagaimana yang diberi keutamaan dalam Islam melalui firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

“Katakanlah adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu.”

Katanya Islam telah meletakkan ilmu sebagai asas kehidupan serta ketaqwaan, dan sumber ilmu bagi umat Islam adalah al-Quran.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen yang mewakili Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, penyertaan lebih ramai umat Islam di seluruh pelosok negeri ini dalam perayaan-perayaan Islam diperlukan khususnya dalam majlis tilawah al-Quran.

Katanya usaha menarik umat Islam dalam aktiviti Islam dapat dilaksanakan melalui penganjuran aktiviti-aktiviti ceramah, ekspo, persembahan dan sebagainya.

Jelasnya, melaluinya akan mengukuhkan kesatuan dan kekuatan antara umat Islam di negeri ini terutama dapat saling membantu sekiranya anggota masyarakat Islam lain ditimpa kesusahan.