Sentiasa mematuhi syarat sijil halal: Putit

0

HALAL: Seorang usahawan menerima Sijil Pengesahan Halal daripada Putit (dua kiri) sambil disaksikan (dari kiri) Ismail dan Syed Harold.

BINTULU: Premis-premis pengendalian makanan yang telah mendapat sijil halal perlu mematuhi syarat dan mengekalkan aspek halal dalam penyediaan dan pengendalian makanan yang mereka hasilkan.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen yang mewakili Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata bagi memastikan syarat itu terus dipatuhi, pemantauan penguatkuasaan melalui pemeriksaan akan terus dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Katanya penguatkuasaan yang dijalankan bertujuan memastikan pemilik perniagaan yang mendapat sijil halal itu terus mematuhi syarat yang ditetapkan sekali gus mengingatkan mereka mengenai kelemahan-kelemahan tertentu yang mungkin melanggar syarat penggunaan sijil halal terbabit.

“Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan adalah untuk mengingatkan peniaga terbabit, justeru jangan kecil hati bila ditegur (sekiranya mereka melakukan kesalahan),” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal dan Penangguhan Bengkel Penyelarasan Halal 2014 di Hotel Parkcity Everly semalam.

Menurutnya, premis perniagaan yang telah mendapat sijil halal juga perlu memperbaharui sijil tersebut pada tempoh masa yang telah ditetapkan.

Begitupun beliau menasihati premis yang memiliki sijil halal agar terus memantau kualiti makanan yang disediakan dengan kerap memeriksa keadaan pekerja mereka bagi memastikan mereka menekankan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Premis atau perniagaan yang memiliki sijil halal mempunyai banyak kelebihannya antaranya pengguna lebih yakin dengan produk atau makanan yang dihasilkan di samping mampu menarik minat pelanggan untuk terus mengunjungi premis mereka,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kaedah-kaedah tertentu yang dapat dibincangkan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil pengesahan halal kepada yang memohonnya.

“Kami terima aduan mengenai kesukaran untuk mendapatkan sijil halal disebabkan syarat-syarat yang ketat.

Keadaan ini perlu dilihat untuk mengatasi kesusahan itu dan boleh dibincangkan untuk mencari jalannya memandang ada pemohon yang tidak sabar.

“Apabila tidak sabar mereka merajuk untuk memohonnya semula, keadaan ini tidak berapa baik untuk perkembangan industri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Ismail Mohamad Hanis berkata, program yang dilaksanakan itu bertujuan penyeragaman dan penyelarasan bagi prosedur Pensijilan Halal Malaysia, pendedahan penggunaan dan aplikasi dalam sistem baharu My e-Halal, pemantapan dalam pemeriksaan bagi audit dan pemantauan.

Selain itu katanya, ia untuk meningkatkan pengetahuan dan menambah pengalaman bagi membantu menjalankan kerja seharian.

“Unit Pembangunan Halal berharap agar program itu dapat memberi pendedahan dan kesedaran tentang isu halal serta maklumat yang diperolehi dapat disalurkan kepada yang lain,” katanya.

Seramai 27 usahawan seluruh Sarawak menerima Sijil Pengesahan Halal pada majlis itu.

Turut hadir Pegawai Pejabat JAIS Bintulu Ustaz Syed Harold Salleh Wan Mohammad.