Dekatilah jabatan, agensi kerajaan

0

UNTUK ALBUM: Salang (enam kanan), Simon (lima kanan), Chumang (dua kanan) serta yang lain merakamkan kenangan bersama penduduk di Ulu Sungai Salim pada majlis meraikan pelantikan Simon sebagai tuai rumah baharu pada Rabu lepas.

SIBU: Pengerusi Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC) Datuk Joseph Salang Gandum menasihati tuai-tuai rumah agar mendekatkan diri dengan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan.

Menurutnya, ia akan membantu mereka untuk memohon bantuan bagi penduduk rumah panjang.

“Sebagai tuai rumah, anda harus memupuk hubungan yang baik dan sentiasa mengeratkan silaturahim dengan kakitangan kerajaan.

“Luangkan masa untuk berbincang dengan mereka dan meminta bantuan yang ada atau perkara-perkara lain yang berkaitan,” ujarnya pada majlis meraikan Tuai Rumah Simon Ason yang menggantikan bapanya sebagai tuai tumah yang baharu.

Majlis tersebut diadakan di Rumah Simon sepanjang 79 pintu di Ulu Salim di sini, Rabu lepas.

Salang yang juga Ahli Parlimen Julau mengingatkan tuai-tuai rumah agar berbincang dengan para penduduk mengenai cara terbaik bagi membawa pembangunan ke kawasan mereka.

“Mereka boleh menyumbang idea-idea mereka untuk tujuan itu,” jelasnya.

Beliau kemudiannya melahirkan keyakinan bahawa Simon mampu menjalankan tanggungjawab baharu itu dengan baik.

Terdahulu, Simon dalam ucapannya berkata, beliau akan berkhidmat dengan baik untuk memenuhi hasrat penduduk di bawahnya.

Jelasnya, beliau memerlukan sokongan para penduduk serta panduan untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai tuai rumah baharu mereka.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Selangau Chumang Nyambong dan bekas Tuai Rumah Ason.