SIBU: Penganjuran Drag Race (Sprint Test) di sini diharapkan dapat memupuk tahap kesedaran yang tinggi di kalangan belia agar tidak melibatkan diri dalam lumba haram.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol menegaskan melalui acara tersebut, ia akan memberi gambaran yang lebih besar dan pemahaman yang lebih baik kepada belia mengenai sebab mereka tidak harus melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram di jalan raya.
“Melalui acara ini, ia akan membuka minda belia kita mengapa mereka harus berlumba dalam acara yang sah ini.
“Jika belia kita melibatkan diri dalam lumba haram, ia hanya akan membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Drag Race (Sprint Test) yang diadakan di tapak lapangan terbang lama Sibu di sini, semalam.
Acara yang diadakan dari 18 hingga 20 April itu dianjurkan bersama oleh Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS), Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah (Gelombang Biru) dan Dainese Racing (Intan Enterprise).
Lebih daripada 50 pelumba dari Brunei, Sabah, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu dan Sarikei mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop memberitahu, keadaan itu juga membantu untuk mengelak golongan belia daripada terlibat dalam gejala negatif yang boleh merosakkan kesihatan dan masa depan mereka.
“Kejohanan ini yang mampu menarik pelumba sejauh Brunei dan Sabah sudah pasti menjadi satu platform bagi pelumba untuk bertukar-tukar dan berkongsi idea dalam minat yang sama ini.
“Ia juga berfungsi sebagai jambatan yang membantu menggalak dan mengukuhkan semangat muhibah di antara Malaysia dan Brunei,” tambahnya. Hadir sama ialahTimbalan Pengerusi AWAS Helmi Morsili dan Setiausaha Kehormat AWAS Mohd Junaidi Sambang.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan diadakan pada 20 April jam 3.30 petang di venue yang sama.