Ngap Sayot ‘encang’ Kelantan di Kota Bharu !

0

RYAN Griffiths wira Ngap Sayot apabila menjaringkan gol tunggal Sarawak menewaskan Kelantan 1-0 pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Pemain berasal dari Australia itu pantas mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan Kelantan apabila merampas bola daripada Obinna Nwaneri sebelum melambungkan bola mengatasi Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-51.

Aksi bermula dengan kubu Sarawak diasak hebat oleh Kelantan menerusi gandingan Forkey Doe dan Mohamed Ghaddar sebaik wisel dibunyikan.

Penjaga gawang Mohd Fadzley Rahim menyelamatkan Sarawak pada minit keempat apabila tangkas menepis percubaan Mohd Fitri Omar.

Serangan bertali arus Kelantan bagaimanapun berjaya dikekang skuad bimbingan Robert Alberts bagi mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Alberts menukar percaturan apabila memasukkan Muamer Salibasic menggantikan Joseph Kalang Tie.

Selepas berjaya merobek gawang Kelantan, pengemudi Sarawak itu membuat satu lagi pertukaran apabila memantapkan jentera tengah dengan memasukkan Lot Abu Hassan dan mengeluarkan Shahrol Saperi pada minit ke-62.

Kelantan yang tampak terdesak nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-67, namun Mohd Fadzley menangkap percubaan Forkey di dalam kotak penalti Sarawak.

Mohd Fadzley yang ternyata cemerlang pada perlawanan malam tadi terus menjadi duri dalam daging buat Forkey yang pasrah menyaksikan tandukannya ditepis penjaga gawang nombor dua Sarawak itu pada minit ke-70.

Skuad bimbingan jurulatih sementara Hashim Mustapha tambah kecewa lima minit kemudian tatkala Sarawak sekali lagi terselamat apabila percubaan Brendan Gan sekadar menggegarkan palang gol Mohd Fadzley.

Babak-babak terakhir perlawanan, Alberts memperkasakan pertahanan Sarawak dengan memasukkan Dzulazlan Ibrahim menggantikan Mazwandi Zekeria pada minit ke-85.

Usaha Kelantan mencari gol pada tambahan empat minit daripada masa perlawanan bagaimanapun tidak berhasil dan Sarawak pulang dengan tiga mata penuh.