Angkut besi demi sesuap nasi

0

Sudah berusia 90 tahun tetapi Rabaie masih gagah menolak kereta sorong berisi besi buruk.

KUCHING: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Itulah peribahasa yang menggambarkan kepayahan hidup seorang warga emas yang terpaksa menolak kereta sorong dengan muatan besi buruk demi mencari sesuap nasi.

Dia yang hanya dikenali sebagai Rabaie, kini sudah pun mencecah usia 90 tahun, namun masih lagi gagah berjalan sehingga sejauh lima kilometer untuk mencari barang terpakai seperti besi buruk untuk dijual bagi mendapatkan sedikit wang.

Rabaie memberitahu, dia sudah lama tinggal seorang diri di kawasan Bintawa dan disebabkan itu dia terpaksa membanting tulang untuk membeli makanan setiap hari.

“Saya tinggal seorang diri, penat… haus terpaksa kerana hendak cari duit untuk membeli makanan,” katanya melalui isyarat tangan kerana mengalami masalah pendengaran disebabkan usia.

Rabaie sering berulang-alik dari tempat tinggalnya ke kawasan perindustrian di Bintawa untuk menjual hasil kutipan barang terpakai.

Ditanya berapa ringgit hasil jualan barang terpakai, dia berkata: “Tidak banyak, cukup untuk makan sehari,” sambil menunjukkan lima jari tangan kanannya yang bermaksud RM5 sehari.

Dia yang sering singgah di sebuah kedai makan di kawasan perindustrian Bintawa untuk berehat sebentar bagi menghilangkan rasa haus dan lapar kerap kali mendapat ihsan daripada pelanggan yang makan di situ.

“Kadang-kadang ada orang yang simpati, dia akan membayar makanan dan minumannya,” kata Salimah Magiman yang merupakan pekerja di kedai makan itu.

Menurutnya, dia kerap melihat Rabaie berulang-alik menyorong kereta sorong yang penuh dengan muatan besi buruk.

“Saya kesian melihat dia yang sudah 90 tahun tetapi terpaksa bekerja keras untuk mencari duit,” katanya ketika ditemui semalam.

Manakala menurut seorang lagi pekerja di kedai makanan itu, Liska, 37, selalunya orang yang sudah berusia 90 tahun seharusnya dijaga oleh keluarganya.

“Sedih saya melihat keadaannya yang sudah tua tetapi terpaksa tinggal seorang diri dan menyara hidupnya sendiri dengan mencari besi buruk untuk dijual setiap hari,” ujarnya.

n> Dia yang sering singgah di sebuah kedai makan di kawasan perindustrian Bintawa untuk berehat sebentar bagi menghilangkan rasa haus dan lapar kerap kali mendapat ihsan daripada pelanggan yang makan di situ.