Beri penekanan terhadap pembangunan luar bandar

0

S’wak mahu k’jaan persekutuan berbuat demikian, rapat jurang perbezaan ekonomi rakyat negeri ini

SELAMAT DATANG: Adenan ketika tiba pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.

SRI AMAN: Sarawak mahu kerajaan persekutuan memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, ia sebagai langkah merapatkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan rakyat Bumi Kenyalang pada hari ini.

“Rakyat Sarawak yang tinggal luar bandar masih lagi kekurangan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih ketika ini.

“Jadi kita akan memohon peruntukan lebih banyak daripada kerajaan persekutuan bagi memberi keselesaan kepada rakyat luar bandar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Sri Aman, di sini, semalam.

Dianggarkan 1,000 orang hadir pada majlis julung kalinya diadakan di sini selepas Adenan dilantik sebagai Ketua Menteri kelima.

Sementara itu katanya, pendekatan lain yang diambil dalam merapatkan jurang ekonomi termasuk mengutamakan pembangunan kemahiran.

Ini terutama dalam bidang industri dan teknologi kerana ia dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi, tambahbeliau.

“Pendekatan itu juga selari dengan pembangunan di Koridor Tenag Diperbaharui Sarawak (SCORE) nanti,” kata beliau.

Adenan dalam pada itu sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan meneruskan segala dasar pembangunan bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya dasar yang telah terbukti bagus harus diteruskan dan ia tidak perlu diubah sekalipun kerajaan Negeri diketuai pemimpin baharu.

Turuthadir pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Mong Dagang, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sekitar Sri Aman.