Lahad Datu perlukan balai bomba baharu berikutan pembangunan pesat POIC

0

KINABATANGAN: Sebuah Balai Bomba dan Penyelamat baharu diperlukan di Lahad Datu berikutan wujudnya Kawasan Klaster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata di kawasan POIC terdapat kilang dan gudang menyimpan bahan kimia dan jika berlaku kejadian tidak diingini di kawasan itu, ia memerlukan kepakaran bomba dan peralatan sesuai.

“Kementerian saya dan kerajaan negeri Sabah mengakui Lahad Datu memerlukan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat Baharu disebabkan kepesatan pembangunan perindustrian khususnya melibatkan POIC di daerah itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan yang siap dibina pada Mei 2012 dengan kos RM13 juta.

Menurut beliau biarpun sudah terdapat sebuah balai bomba dan penyelamat di Lahad Datu tetapi terdapat keperluan membina sebuah balai bomba baharu yang canggih untuk menangani insiden melibatkan bahan kimia.

Sebagai contoh, Abdul Rahman berkata pembinaan balai bomba dan penyelamat di Kimanis Papar bermula tahun ini adalah bagi menampung keperluan pembangunan pesat Terminal Minyak dan Gas Sabah di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi meningkatkan perkhidmatan udara Bomba dan Penyelamat di Sabah dan Sarawak, kementeriannya bercadang menambah helikopter sedia ada.

“Kita perlukan lebih banyak helikopter tambahan untuk memberikan perkhidmatan terbaik berikutan kawasan dua negeri ini adalah luas dan bergunung-ganang,” katanya.

Menurutnya ia akan melancarkan operasi menyelamat serta mengawal kebakaran dan memudahkan pergerakan anggota bomba terutamanya di kawasan terpencil.

Pada masa sekarang, jabatan itu sudah mempunyai sebuah helikopter yang berpangkalan di Miri, Sarawak. — Bernama