Mangsa kebakaran Kampung Raeh perlukan tapak untuk bina rumah

0

KUCHING: Sepuluh keluarga mangsa kebakaran rumah panjang 25 pintu di Kampung Raeh, Batu 27 Jalan Kuching-Serian pada 4 April lalu memohon kerajaan menyediakan tapak untuk membina rumah.

Ketika ditemui, Sito Ejau, 33, berkata beliau meminta jasa baik kerajaan membantu keluarganya mendapatkan tempat di tapak Rumah Mesra Rakyat yang dibina tidak jauh dari tapak lama rumahnya yang terbakar itu.

RUMAH BAHARU:Dawi menunjukkan kawasan tapak baharu di kampung berkenaan yang siap dibina menggunakan kos sendiri.

“Sudah dua minggu kami berada di sini… tidak ada tempat lain hendak dituju tetapi jika kerajaan dapat membantu keluarga saya dan sembilan keluarga lain untuk mendapat tapak bagi membina rumah agak memadailah,” katanya kepada pemberita.

Beliau tinggal di bangunan gereja berkenaan bersama isterinya Rohana Alim, 31, ibu mentua Balantan Gaon, 67, adik ipar OKU Harrison Alim dan tiga anak.

Sito sendiri tidak dapat bekerja kerana tidak sampai hati meninggalkan keluarganya yang kini tinggal sehelai sepinggang akibat rumah mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca  daripada lintar pintas.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang pemandu lori di Bintulu, beliau bingung memikirkan masalah yang menimpanya kini.

Sementara itu, Carol Layang, 32, berkata litar pintas itu berlaku dari ‘sadau’ bahagian atas rumahnya sendiri.

Carol sendiri tidak menyedari berlakunya kebakaran sehingga anaknya, Gillana, 5, menangis setelah melihat api.

Dia sendiri selepas melihat cuba menyelamatkan diri mengalami kelecuran di lengan bahagian kanan.

Menurut Carol, ada saudaranya yang terbawa sejenis serangga ‘indu ngingit’ (sejenis serangga yang berbunyi kuat) yang sangat besar di belakangnya seminggu sebelum kejadian.

Walaupun ditegah Carol daripada menaiki tangga rumahnya kerana mengikut adat Iban ia membawa malang/berita buruk, tetapi saudaranya itu masih berdegil dan naik maka terjadilah perkara buruk itu katanya.

Sejak enam keturunan mendiami kampung terbabit, dua kali kampung berkenaan mengalami musibah yang sama apabila rumah panjang penduduk kampung itu turut terbakar pada 1940-an dahulu.

Pada masa yang sama, Ketua Kaum Kampung Raeh, Dawi Uchau, 80, berkata sebelum ini pihaknya merancang membina 42 unit rumah tetapi perutukan tidak mencukupi.

Pihaknya telah diberi bantuan kerajaan sebanyak RM14,000 dan masih menunggu untuk bantuan kewangan bagi peringkat kedua.

Projek itu bagaimanapun telah berlangsung sejak 2012 dan masih belum siap sehingga sekarang kerana setiap isi rumah perlu mengeluarkan kos sendiri bagi tujuan pembinaan, jelasnya.