Rumah dijadikan ‘stesen minyak diesel’

0

TIADA KEBENARAN: Tempat penyimpanan diesel yang tidak dibenarkan di premis kediaman di Jalan Bau.

KUCHING: Taktik baharu dengan menjadikan premis kediaman sebuah taman perumahan sebagai lokasi menyimpan diesel berjaya dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Sarawak.

Serbuan ke atas rumah di Jalan Bau pada Rabu lepas itu membawa kepada penemuan 3,000 liter diesel yang diper­cayai untuk dijual kepada pengguna industri.

Menurut Pengarah KP­DNKK Sarawak Stanley Tan, premis kediaman itu didapati menyimpan diesel dengan kuantiti yang banyak di tempat yang tidak mendapat kebenaran.

Atas kesalahan itu ka­tanya, pemilik premis boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan.

“Premis dipercayai di­jadikan tempat pengumpulan diesel yang dibeli dari stesen minyak sebelum dijual ke­pada pengguna industri,” katanya.

Dalam operasi berasingan pada hari yang sama jelasnya, sebuah lori yang diubah suai tangkinya dengan kandungan diesel sebanyak 1,000 liter disita di sebuah stesen minyak di Siburan.

Menurutnya, ini kerana pe­mandu lori itu membeli diesel dengan kuantiti luar biasa.

“Kedua-duanya (pembeli dan penjual) akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Beliau berkata pemi­lik stesen minyak akan dikenakan tindakan di ba­wah Peraturan 21(1) Per­aturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana me­langgar syarat lesen menjual diesel ke dalam tangki selain ke tangki asal.

Manakala pemandu lori diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memi­liki diesel secara tidak sah dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Lima pegawai KPDNKK Sarawak terlibat dalam op­erasi tersebut.