Ahli PERKIM perlu perkaya keupayaan diri, kata Hanifah

0

LAWAS: Ahli PERKIM perlu memperkaya keupayaan diri termasuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, bermaklumat dan peka dengan perkembangan teknologi maklumat agar tidak ketinggalan dan relevan dalam arus perdana.

Pengerusi PERKIM Bahagian Sarawak Datuk Hanifah Taib berkata mereka juga digesa agar sentiasa mengemas kini segala data, dokumen dan urusan pentadbiran PERKIM di peringkat cawangan masing-masing.

“Selain itu, ahli-ahli PERKIM perlu memberi contoh teladan seperti disiplin tinggi, berhemah, berbudi pekerti yang mulia serta mempunyai nilai integriti tinggi memastikan segala perancangan program untuk kepentingan masyarakat dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PERKIM Sarawak di sini semalam.

Hanifah berkata PERKIM tidak harus disalahgunakan untuk tujuan politik atau kepentingan peribadi sebaliknya perlu bersifat telus dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat demi kebaikan bersama.

Beliau juga menasihati ahli PERKIM agar sentiasa kembali kepada Allah dalam segala hal membabitkan urusan peribadi, keluarga, duniawi dan akhirat.

“Ini penting, kerana kita tidak mengetahui segala perancangan daripada Allah kepada kita yang mempunyai tujuan baik.

“Mengenai menangani anak-anak masa kini, kita perlu bijak dan mampu memahami keperluan mereka mengikut logik yang dapat diterima dan bukannya dengan terus memberi hukuman yang akhirnya menjadikan jiwa mereka memberontak dan merosakkan diri mereka sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, beliau memberitahu bahawa Yayasan Laila Taib menghulurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Awat-Awat dalam usaha menyokong mangsa dan keluarga untuk bangkit semula daripada musibah yang memusnahkan kediaman serta kehidupan mereka pada November tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak 18 cawangan PERKIM seluruh Sarawak menghadiri mesyuarat di Lawas kali ini untuk membincang dan membuat keputusan mengenai perkara-perkara utama yang termaktub dalam perlembagaannya.

Mesyuarat turut merancang dan merangka hala tuju PERKIM dalam mengeratkan aktiviti-aktiviti untuk manfaat umat Islam dan masyarakat.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan isteri, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.