Aktiviti ‘Selfie’ harus secara sederhana dan ambil kira sensitiviti individu lain

0

TREND KINI JADI IKUTAN RAMAI

KUCHING: Trend merakam gambar sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘Selfie’ kini menjadi ikutan ramai bukan sahaja di kalangan remaja biasa tetapi juga golongan artis.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini mendapati trend ini kian popular khasnya kepada pengguna telefon pintar yang mempunyai kemudahan Internet.

Malah, mereka yang suka ‘selfie’ menjadi golongan utama yang kerap memuat naik gambar mereka di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi.

Mohd Dzulkarnaen Rezeni, 26, berkata dia sering melihat golongan itu mengambil gambar sendiri atau ‘berselfie’ yang kadang-kadang menimbulkan rasa meluat dan menjengkelkan.

“Saya sering kali bertembung dengan golongan tersebut di mana-mana sahaja, tidak kira di pusat beli-belah mahupun di kedai makan.

“Kebiasaannya, mereka akan menangkap (mengambil) gambar sendiri melalui kamera hadapan telefon pintar atau merakam gambar makanan dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Dzulkarnaen menyifatkan aktiviti ‘selfie’ itu sebagai aktiviti yang kurang sihat selain boleh menjejaskan keyakinan diri sekiranya ia mendapat komen negatif di kalangan pengguna laman sosial yang lain.

Manakala adik Mohd Dzulkarnaen, Bibi Shahinaz Rezeni, 23 pula memberitahu, ia bukanlah sesuatu yang memudaratkan dari segi fizikal mahupun emosi kerana ia hanya dilakukan semata-mata untuk keseronokan sendiri.

“Saya juga gemar merakam selfie ketika keluar berjalan-jalan bersama rakan-rakan yang lain.

“Pada pendapat saya, ia bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana tujuan selfie yang dimuat naik ke laman sosial hanyalah untuk berkongsi keseronokan yang dialami untuk masa tersebut,” katanya.

Bibi menambah, aktiviti ‘selfie’ hanya akan dilihat dari sudut negatif sekiranya ia dilakukan secara berlebihan dan boleh menaikkan rasa tidak selesa atau menjengkelkan di kalangan pengguna laman sosial yang lain.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan Nurfazila Zulaihi, 24, berkata aktiviti ‘selfie’ dianggap sebagai sesuatu yang normal dan tidak mendatangkan bahaya kepada si pelaku.

“Ia lebih berkaitan kepuasan diri masing-masing. Kesemuanya terletak kepada individu untuk menilai adakah perbuatan ‘selfie’ itu sesuatu yang tidak baik atau baik.

“Apa yang mungkin menjadi bahaya perbuatan selfie ialah apabila pelaku memuat naik gambar yang tidak senonoh atau boleh mendatangkan perasaan meluat daripada orang ramai,” ujarnya.

Katanya selfie boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ia tidak berlebihan selain turut mengambil kira isu sensitiviti individu lain yang boleh terjejas dengan gambar yang dimuat naik.

Selain itu, trend yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia termasuk Sarawak itu kini turut dibantu dengan kewujudan rekaan tiang Monopod sebagai kegunaan merakam gambar tanpa memegang kamera atau telefon pintar.

Ia juga boleh digunakan sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada orang lain untuk merakamkannya.