Hidup di bandar ternyata susah

0

SAYU: Bujang dan Salbiah mengenang nasib mereka yang tiada tempat bergantung di rumah yang semakin usang di Kampung Sungai Midin.

Penghijrahan Bujang bersama isteri dan anaknya ke Kuching ternyata tidak seperti yang mereka impikan.

KUCHING: Kehilangan satu-satunya anak lelaki yang menjadi harapan Bujang Tawek, 60, dan Salabiah Buang, 62, kira-kira tiga tahun lalu merupakan tamparan hebat kepada pasangan warga emas itu.Anak lelaki mereka meninggal dunia aki­bat sakit jantung.Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Salabiah pula disahkan menghidapi kanser pangkal rahim (servik) peringkat awal menyebabkannya perlu mendapatkan rawatan berjadual di hospital.

Bujang pula tidak mempunyai pekerjaan tetap dan Salabiah yang dahulunya turut bekerja bagi menambah pendapatan un­tuk kehidupan mereka berdua terpaksa berhenti kerja kerana tidak larat akibat penyakitnya.

Menurut Bujang, mereka berdua ber­syukur kerana Salabiah ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan itulah yang digunakan oleh mereka berdua untuk meneruskan kehidupan sekiranya tiada pendapatan sampingan lain.

Bujang menceritakan, dia bersama isteri dan anaknya telah berpindah ke Kuching dari Maludam, Betong demi mengubah kehidupan dan mencari rezeki di bandar raya ini.

“Saya dan isteri berpindah dari Maludam mengikut anak saya (yang telah meninggal) sejak 10 tahun lalu dan pada masa itu kami telah membeli rumah ini.

“Pada masa itu, kami membeli rumah ini dengan harga berpatutan berikutan ia terletak di kawasan setinggan.

“Kami terpaksa membelinya kerana jika hendak menyewa pastinya lebih sukar berikutan kami baharu sahaja ingin memulakan kehidupan di bandar ini pada ketika itu.

“Sejak itu, kehidupan kami di bandar raya Kuching bermula dengan ada turun dan naiknya… sehinggakan paling tidak dapat kami berdua lupa adalah kehilangan satu-satunya anak lelaki kami itu,” ceritanya dengan nada sedih.

Sementara itu, Salbiah memberitahu bahawa sehingga detik ini masih sukar baginya melupakan anak tunggalnya itu.

“Dialah satu-satunya harapan saya dan bapanya sewaktu berada di Kuching ini.

“Kini dia telah pergi meninggalkan kami berdua selamanya,” katanya kepada pemberita semalam.

Sejak kehilangan anak mereka itu, hidup mereka bedua ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, apatah lagi rumah yang mereka huni sejak lebih 10 tahun itu semakin usang dimamah usia.

Menurut Bujang, dia sukar untuk mendapat bantuan terutama dalam memohon bantuan Rumah Mesra Rakyat (RMR) atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana mereka tinggal di kawasan setinggan di Kampung Sungai Midin.

Cuma jauh di sudut hati, Bujang dan Salbiah berharap agar pihak yang prihatin membantu mereka membaiki rumah tersebut.