Penduduk mahu kemudahan elektrik, air bermeter

0

Penduduk Kpg Sg Midin rasa bersalah guna elektrik tanpa meter, mereka sedia bayar jika meter disediakan

KUCHING: Tidak membayar bil bagi elektrik yang diguna mungkin suatu yang menggembirakan bagi setiap ketua keluarga atau individu yang memiliki rumah sendiri.

Namun begitu, apakah tiada perasaan bersalah bila memikirkan ada orang lain perlu membayar untuk perkhidmatan yang sama terutama untuk jangka masa yang lama?

Begitulah keadaan berlaku kepada penduduk Kampung Sungai Midin dekat sini yang rata-rata mereka mempunyai bekalan elektrik tanpa bayaran berikutan tiada meter sejak tujuh tahun lalu.

Menurut mereka, tidak membayar bil bulanan seperti orang lain menyebabkan mereka rasa seperti mencuri.

Seorang penduduk, Ibrahim Anuar, 54, berkata keadaaan ini menyebabkan lahir rasa bersalah apabila menggunakan sesuatu tanpa perlu membayar apa-apa.

“Kami telah menggunakan elektrik secara ‘percuma’ ini sejak tujuh tahun lalu. Walaupun pada awalnya kami gembira apabila tidak perlu membayar apa-apa tetapi untuk jangka masa lama (tujuh tahun) perasaan tersebut berubah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya kelmarin.

Menurut Ibrahim, mereka sanggup membayar bil secara bulanan dan gembira sekiranya setiap rumah mereka dipasang meter sendiri.

“Sekurang-kurangnya kami akan rasa tenang kerana jika tidak perkara ini membawa banyak kesan jangka panjang.

“Bagaimana pula dengan anak kami, cucu kami nanti? “Pastinya apabila mereka dewasa mereka juga akan merasakan hal yang sama sekiranya perkara ini berterusan,” kata bapa kepada empat orang anak, dua daripadanya masih bersekolah itu.

Jelasnya lagi, penduduk kampung pernah memohon kepada pihak bertanggungjawab mengenai hal berkenaan, namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memasang meter di kediaman mereka.

Malahan, ketiadaan meter pada sambungan elektrik juga kelihatan berbahaya kerana elektrik tersebut terus bersambung tanpa sebarang tapisan ke kediaman mereka.

“Bayangkan betapa besar kuasa elektrik secara terus tanpa meter ini.

BERKONGSI: Ibrahim menunjukkan satu paip dikongsi oleh ramai pengguna.

“Sebab itu apabila hujan turun atauada kilat saya sering menasihati anak-anak supaya mematikan semua peralatan elektrik kerana ia boleh menyebabkan kerosakan dan lebih teruk kebakaran,” ujarnya.

Di samping itu, Ibrahim memberitahu ada antara penduduk memerlukan bil untuk membuat tuntutan bagi gaji dan perkara ini pasti menyukarkan mereka.

Selain tiada meter elektrik, antara perkara lain yang mereka ingin mohon kepada pihak bertanggungjawab adalah mempunyai paip air sendiri.

Menurut Ibrahim, pada masa ini penduduk masih berkongsi lima atau lebih bagi satu pili.

“Apabila waktu kemuncak (masing-masing menggunakan air), air menjadi kecil.

“Oleh sebab itu, kami berharap setiap rumah juga dapat dipasang dan memiliki pili bermeter sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut berharap pihak bertanggungjawab dapat membaiki jalan raya yang semakin rosak akibat kehadiran lori lebih muatan serta keadaan longkang yang semakin terhakis akibat mendapan pada tembok batu yang telah dibina.