Perasmian cawangan PPWS dalam suasana suram

0

Majlis diteruskan walaupun hanya bercahaya lilin akibat terputus bekalan elektrik di daerah Simunjan

 SIMUNJAN: Meskipun bergelap hampir tiga jam kerana terputus bekalan elektrik di seluruh daerah Simunjan, Majlis Perasmian Cawangan Baharu Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Ulu Simunjan yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri tetap diteruskan.

Hanya menggunakan cahaya lilin dan lampu suluh, majlis itu diteruskan dengan dihadiri kira-kira 1,500 penduduk kampung.

“Saya mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur dan penduduk yang sudi hadir ke majlis ini walaupun dalam keadaan gelap dan hanya bercahayakan lilin dan lampu suluh.

“Semangat ini yang kita mahu, sokongan yang berterusan daripada rakyat di akar umbi walaupun menghadapi masalah seperti ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Dewan Masyarakat Kampung Samalatong di sini malam kelmarin.

Disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, beberapa persembahan yang sepatutnya diadakan pada majlis pembukaan terpaksa ditunda sehingga jam 9.45 malam sebelum bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Pada masa sama, Nancy mengingatkan agar rakyat tidak mudah melatah mengutuk kerajaan sekiranya menghadapi masalah seumpama itu.

Tegasnya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, setiap masalah itu seharusnya diselesaikan dengan cara berhemah melalui saluran yang betul.

“Janganlah hanya disebabkan masalah kamu terus mengutuk kerajaan sedangkan selama ini kerajaan telah banyak menyumbang pembangunan kepada kamu,” katanya.

Walaupun hanya menggunakan cahaya lilin, majlis perasmian 11 cawangan baharu PPWS itu berlangsung dengan lancar.

Difahamkan bekalan elektrik terputus di seluruh daerah Simunjan bermula 7 malam sebelum ia pulih sekitar jam 9.45 malam.