PERKIM tonjol Islam sebagai agama prihatin

0

RASMI: Taib (enam kiri) bersama Ragad (empat kiri), Hanifah, Awang Tengah, Dayang Morliah, Mohd Asfia dan yang lain pada majlis itu.

 

LAWAS: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) banyak membantu golongan kurang bernasib baik sekali gus menonjolkan ajaran Islam sebagai agama yang prihatin terhadap umatnya yang ditimpa kesusahan.

Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata PERKIM juga merupakan badan yang aktif mengumpul dana besar untuk menjalankan aktiviti kebajikan, sosial dan kegiatan ekonomi untuk masyarakat yang kurang berkemampuan selain tidak meminggirkan golongan orang kurang upaya.

“Kita amat bangga kerana PERKIM Lawas telah mempelopori penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini  sehingga PDK mendapat sambutan baik di negeri ini.

“Perkara ini kita serahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan untuk meneruskan usaha bagi membantu perkembangan usaha kebajikan untuk kanak-kanak kurang upaya  di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PERKIM Sarawak di Stadium Tertutup Lawas, malam kelmarin.

Hadir sama isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, isteri Awang Tengah yang juga Pengerusi PERKIM Lawas Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Pengerusi PERKIM Sarawak Datuk Hanifah Taib.

Taib berkata, meskipun dibarisi golongan wanita, PERKIM perlu mengangkat agama Islam agar dihormati dengan mengamalkan ajaran Islam yang memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat.

“Usaha badan-badan kebajikan seperti PERKIM ternyata amat berkesan dalam membantu golongan kurang bernasib baik dengan menonjolkan imej Islam sebagai agama yang prihatin terhadap masyarakat di serata tempat,” ujarnya.

Seterusnya beliau juga menjelaskan bahawa PERKIM Sarawak sememangnya unik kerana dianggotai golongan wanita manakala kaum lelaki pula melibatkan diri dalam pertubuhan seperti HIKMAH yang dahulunya dikenali BINA.

“Ini semua dilakukan bagi mengelak sebarang perebutan antara golongan lelaki dan wanita dalam menjalankan gerakan dakwah dan keislaman di negeri ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai sejarah PERKIM, Taib berkata badan itu berdepan kekurangan dana berbanding aktiviti kebajikan yang terlalu banyak.

“Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tetap tenang dengan menyatakan bahawa sesuatu kerja yang baik untuk beramal akan dipermudahkan Allah.

“PERKIM akhirnya mendapat sumbangan derma daripada Tan Sri Robert Kuok yang ketika itu melakukan kunjungan hormat kepada Tunku lebih kurang lima belas minit selepas saya memaklumkan laporan bagi masalah kekurangan dana PERKIM,” katanya.

“Selain PERKIM, Tabung SABATI turut ditubuhkan kerajaan negeri yang juga mempunyai objektif membantu masyarakat yang kurang berkemampuan seperti menjalani pembedahan jantung dengan dana yang banyak.

“SABATI turut membina bangunan sendiri untuk disewa bagi mendapat faedah yang dapat digunakan sepanjang masa,”ujarnya.

Katanya kerajaan amat memerlukan sokongan badan sukarela dan orang perseorangan membantu melakukan kerja kebajikan dan beliau amat bangga dengan semangat tinggi rakyat negeri ini melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.

Pada majlis itu, Taib mengumumkan peruntukan bantuan berjumlah RM50,000 untuk PDK Daerah Lawas dan RM50,000 untuk PERKIM meneruskan agenda kerja amal mereka membantu golongan kurang bernasib baik.