21 atlet Tang Soo Do Miri mewakili Sarawak

0

MIRI: Persatuan Tang Soo Do Miri memilih 21 atlet bagi mewakili Sarawak pada Kejohanan Tang Soo Do Kebangsaan di Teluk Intan, Perak pada 12 hingga 14 Disember depan.

Ketua jurulatih Tang Soo Do negeri, Tiong Ching Chiong berkata pemilihan semua atlet berkenaan dilakukan pada pertandingan Wushu dan Tang Soo Doo antara sekolah-sekolah di sini.

Tiong berkata, persatuan telah membuka ruang dan peluang kepada atlet-atlet untuk bertanding pada peringkat tertinggi termasuk peringkat kebangsaan.

“Kita mempunyai pengalaman dalam menyertai kejohanan Tang Soo Do kebangsaan dan tempatan, tetapi jumlah atlet yang mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan masih kecil,” katanya di sini semalam.

Beliau memberi tahu, berikutan pertambahan jumlah atlet yang ramai maka sudah tibanya bakat-bakat berkenaan digilap untuk bertanding ke peringkat kebangsaan.

“Kita percaya apabila atlet ini mempunyai pengalaman dalam pertandingan kebangsaan, maka mampu menarik golongan belia menyertai Tang Soo Do,” ujarnya.

Tiong berkata, pihaknya bertekad melahirkan lebih banyak atlet Tang Soo Do pada masa akan datang dan memastikan atlet mampu menyumbang kepada pembangunan sukan itu.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menunggu keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyerap masuk Tang Soo Do dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016.

“Jumlah keahlian Tang Soo Do bertambah ramai di Sarawak dan jika jumlah itu disatukan menjadi satu pasukan kita percaya menjadi kuasa kuat sukan ini,” katanya.

Sebagai contoh, jika Kuching, Miri dan Sibu mengumpul semua atlet terbaik mampu bersaing meraih pingat untuk Sarawak.

Persekutuan Tang Soo Do Malaysia sebelum ini menghantar surat kepada KBS memohon untuk memasukkan Tang Soo Do dalam acara SUKMA 2016.