Ekspedisi ke Bako bertukar tragedi

0

Gadis berusia 20 tahun meninggal dunia ketika bersama rakan-rakan bekas pelajar Kolej TAR menjelajah Taman Negara Bako.

Gadis meninggal selepas pengsan, operasi dihalang keadaan gelap

KUCHING: Ekspedisi bekas pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur ke Taman Negara Bako bertukar tragedi apabila seorang gadis yang mengikuti rombongan itu meninggal dunia, kelmarin.

Mangsa dikenal pasti sebagai Low Xie Yann, 20, berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan insiden itu memberitahu, polis menerima laporan daripada bapa salah seorang peserta yang menghubunginya untuk memaklumkan seorang daripada ahli rombongan telah pengsan dan memohon bantuan bagi membawanya keluar.

Sebaik menerima laporan, katanya, sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bersama lima renjer Taman Negara Bako dikejarkan ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.

Pasukan JPAM yang terdiri daripada sembilan anggota, bersama empat renjer Taman Negara Bako berjaya menjumpai mangsa kira-kira lapan kilometer dari Pusat Taman Negara.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Gerakan membawa mangsa keluar dari Bukit Timah di Taman Negara tersebut berhadapan kesukaran memandangkan keadaan yang gelap-gelita.

Mereka kemudiannya menghubungi pasukan polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan tambahan bagi mengangkat keluar mayat tersebut dari hutan tersebut.

Namun, operasi tidak dapat diteruskan memandangkan keadaan air sungai yang surut dan hanya dapat tiba di Teluk Lima pada jam 3.35 pagi menggunakan dua buah bot.

Operasi melibatkan pasukan bomba, polis serta anggota bomba sukarela Bako mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa dari hutan.

Mereka selamat tiba di jeti Taman Negara Bako bersama mangsa serta 11 ahli rombongan lain pada jam 6.36 pagi semalam.

“Mayat berjaya dibawa keluar dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal melalui temu bual dengan rakan-rakan si mati mendapati si mati mempunyai masalah tekanan darah rendah dan berat badan 110 kilogram,” katanya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Keluarga mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden itu tiba di Kuching petang semalam untuk menuntut mayat gadis berkenaan bagi dikebumikan.