Jabatan Hutan guna kaedah khas kekang pembalakan haram

0

KUCHING: Selari dengan kecanggihan sains dan teknologi, Jabatan Hutan Sarawak menggunakan kaedah khas ‘Hyperspectral Sensing Applications’ untuk mengekang kegiatan pembalakan haram serta pencerobohan kawasan hutan simpan.

Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad berkata, kaedah khas itu banyak membantu pihaknya menjalankan tugas terutama mengesan pihak yang melakukan kesalahan di bawah ordinan perhutanan.

“Melalui kemahiran ini, kita mempunyai kaedah khas untuk mengesan dan mengatasi kegiatan pembalakan haram serta pencerobohan kawasan hutan simpan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Integriti dan Inovasi Jabatan Hutan Sarawak 2014 di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Selain kaedah khas itu, menurut Sapuan, Jabatan Hutan Sarawak turut membangunkan pangkalan data sendiri untuk memudahkan pelaksanaan tugas.

“Namun, kami tetap menerima cadangan dan pandangan lain yang boleh membantu kami memperkasakan mutu perkhidmatan,” ujarnya.

Jabatan Hutan Sarawak, tambahnya, tidak pernah gagal untuk memastikan negeri ini mendapat hasil antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun daripada sektor perhutanan.

“Jadi kita (kakitangan Jabatan Hutan Sarawak) perlu berusaha mengelak daripada mengamalkan tingkah laku tidak baik termasuk salah guna kuasa atau rasuah,” jelasnya.

Beliau turut menasihati kakitangan Jabatan Hutan Sarawak agar memastikan hutan dan khazanah negeri ini diurus dengan baik serta berhemah.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap pulangan yang disumbangkan sektor perhutanan diurus dengan baik bagi membolehkan kerajaan mendapat dana bagi meneruskan program pembangunan,” kata Sapuan.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohamad Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman.