Motosikal bertembung, satu maut dua cedera parah

0

MOTOSIKAL mangsa yang remuk teruk akibat dari kemalangan itu.

PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Jalan Papar Lama, berhampiran Kampung Nambazan, di sini malam Ahad lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang maut dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Papar Lama dari arah Donggongon menggunakan motosikal jenis Honda EX5.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan terbabit, motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal jenis Modenas yang datang dari arah bertentangan.

Akibat dari pertembungan itu, penunggang Honda EX5 mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Penunggang dan pembonceng Modenas terbabit turut mengalami kecederaan parah di bahagian lengan dan kaki.

Polis masih berusaha menyiasat identiti mangsa yang maut dan mengesan ahli keluarganya manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Penunggang motosikal Modenas iaitu Putrariawan Syah, 19, mengalami kecederaan patah lengan dan kaki kanan dan rakannya Ah Cheng Agus, 21, turut patah kaki kanan dan cedera di lutut.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Ketika kejadian katanya, keadaan jalan dua hala serta persekitaran kawasan terbabit gelap kerana tiada lampu jalan.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.