Pecah rumah: Tiga lelaki termasuk dua beradik diperintahkan direman

0

MIRI: Tiga lelaki termasuk dua beradik yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah dan curi diperintahkan Mahkamah Majistret, di sini petang semalam supaya direman empat hari untuk membantu siasatan polis.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah, Haizah Tamin setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Chiu Ann Yan dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Chiu memberitahu pada 15 April lalu seorang wanita  membuat laporan polis di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu merupakan seorang jurutera eksekutif mendakwa sekitar jam 1.15 petang hari sama ketika sedang berada di rumah emaknya di Pujut 2C di sini, beliau dimaklumkan polis bahawa pasport antarabangsa miliknya dicuri orang.

Pengadu segera pulang dan setiba di rumahnya di Jalan Promin Jaya, beliau mendapati pintu utama rumahnya terbuka sedikit.

Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dalam rumah mendapati bilik tidur miliknya dan seorang lagi adik telah diselongkar dan beberapa barang turut hilang termasuk barang kemas, jam tangan wanita jenama Bonia, komputer riba, pelbagai jenis duit syiling lama, barangan perhiasan serta lain-lain yang semuanya dianggarkan bernilai RM20,000.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 3.20 petang, 17 April lalu di Balai Polis Pusat Miri, polis merampas dua utas rantai emas yang diserahkan oleh seorang wanita.

Bersabit rampasan itu, pada jam 2.30 petang, 20 April lalu polis menahan tiga lelaki di pekarangan Balai Polis Pusat Miri kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Dalam permohonan lanjutnya, Chiu memberitahu reman selama empat hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua suspek berusia 19 hingga 24 tahun dari Kampung Tudan Fasa 2A di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes yang lain serta merakam percakapan berhemat semua suspek dan membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan semua suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 25 April ini untuk sebutan semula kes.